KEPEMIMPINAN tertinggi adalah tunjang utama dalam menentukan sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi pilihan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) atau sebaliknya.
Bagi jawatan Presiden, ia kekal ditunjangi Tan Sri Muhyiddin Yassin sementara Timbalannya menerima sentuhan baharu apabila Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih tampuk kepimpinan daripada penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga sebelum ini merupakan bekas Menteri Besar Perak.
Melihat kepada Hamzah yang memegang jawatan Ketua Pembangkang di dalam Dewan Rakyat, malah lebih lantang bersuara dalam isu-isu yang dibangkitkan, maka Muhyiddin berpandangan beliau lebih layak diangkat menjadi orang kedua terpenting dalam parti itu berbanding Ahmad Faizal.
Dalam keadaan ‘diturunkan darjatnya’, Ahmad Faizal terus mencuba nasib untuk mengekalkan survival politiknya, maka sebab itu dia perlu mencabar dirinya sendiri bagi menempatkan diri dalam tiga undi teratas untuk jawatan Naib Presiden Bersatu.
Namun, penilaian itu berdasarkan kayu ukur yang berbeza dalam kalangan setiap ahli parti itu.
Asasnya, tanggungjawab yang digalas Ahmad Faizal sebagai Timbalan Presiden Bersatu sebelum ini mungkin menjadi kelebihan di mana akar umbi mengenali dirinya sebagai ‘orang kanan’ Muhyiddin, sekali gus berpandangan beliau perlu terus memikul amanah walaupun bukan pada jawatan yang sama.
Akan tetapi, ada juga yang berpendapat, Ahmad Faizal sudah ‘diturunkan pangkat’, mungkin menyebabkan dirinya hilang keyakinan daripada sesetengah akar umbi, lantas beliau tidak lagi menjadi pilihan sebagai Naib Presiden Bersatu.
Untuk jawatan tersebut, beliau perlu bersaing dengan lima pemimpin lain termasuk penyandang yang dilihat kurang ‘menyengat’ iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee, di mana beliau sukar memberi sebarang respon secara pantas berhubung sesuatu isu berkaitan Bersatu serta Datuk Seri Radzi Jidin yang cemerlang dari segi akademik, namun dilihat masih tersasar dalam menyusun strategi bagi memperkukuh kedudukan parti.
Mengambil contoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, seorang pemimpin parti Bersatu yang enggan dinamakan turut berkata, Radzi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu dari awal lagi telah mencatur strategi yang salah dari segi pemilihan calon.
Selain itu, dua pemimpin lagi yang juga merebut jawatan sama ialah Datuk Razali Idris di mana beliau sebelum ini merupakan Ketua Penerangan Bersatu, mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Datuk Wan Saiful Wan Jan, serta Ketua Bersatu Bahagian Batu Kawan, A’ziss Zainal Abidin.
Juga merebut jawatan yang sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Mohd. Rafiq Abdullah, juga merupakan Ketua Bahagian Sungai Buloh dan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang.
Persoalannya, adakah perlu untuk mengekalkan pemimpin yang sama untuk jawatan Naib Presiden atau perlu memberi nafas baharu sama seperti jawatan yang kini dipegang Hamzah?
Mereka yang dipilih pada pemilihan parti bagi sesi 2024-2027 ini penting kerana untuk berada di barisan hadapan, perlukan keberanian dan percaturan yang tepat, bukan sekadar memegang jawatan, namun masih ‘bermain’ dalam keadaan yang selamat. – UTUSAN










