Mendapan berulang gusarkan 2,000 penduduk Lunas

Mendapan berulang gusarkan 2,000 penduduk Lunas

Mendapan tanah di lorong berhampiran rumah yang membinbangkan penduduk terutama Taman Seladang Emas di Lunas, Kulim, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Hampir 2,000 penduduk di Taman Seladang Emas; Taman Kulim Square; Taman Seladang dan Kampung Sungai Limau, di sini bimbang apabila berlaku hakisan bawah tanah sehingga menyebabkan keretakan jalan di Lorong 2/4 Taman Seladang Emas, Lunas.

Lebih membimbangkan, berlaku mendapan tanah dan lubang berkeluasan kira-kira 1.5 meter (m) dengan kedalaman lebih 1m dari sebuah rumah di lorong itu yang bertambah buruk selepas hujan lebat awal September lalu.

Menurut penduduk, Mohd. Sarifuddin Hamdan, 41, mereka sudah membuat aduan dalam talian kepada Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) pada 18 September lalu, ekoran mendapan kali keempat di lokasi sama.

“Kejadian ini sudah tiga kali berlaku sebelum ini bermula sejak 2022 dan sudah dua kali juga pihak pemaju ambil tindakan menutup lubang mendapan itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohd. Sarifuddin berkata, dalam kejadian ketiga awal Ogos lalu, MPKK turut menutup lubang itu dengan tanah dan simen namun mendapan berlaku kembali pada pertengahan September lalu.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Zakhwan Hassan, 37, berkata, kejadian di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada awal Ogos lalu menimbulkan kembimbangan kepada penduduk di taman-taman itu.

“Ramai penduduk melalui laluan ini, terutama kanak-kanak yang hendak bermain di kawasan padang permainan yang terletak bersebelahan dengan kawasan mendapan tanah itu. Di samping itu, lorong tersebut turut menjadi laluan utama penduduk yang hendak ke sebuah pasar mini dan stesen minyak berhampiran,” katanya.

Eliass Abdul Hamid, 40, pula berkata, penduduk juga membuat aduan kepada agensi swasta dan kerajaan lain mengenai masalah mendapan tanah, namun masing-masing menolak aduan itu dengan alasan bukan di bawah tanggungjawab mereka.

Ujarnya, penduduk kini dalam dilema kerana tidak tahu pihak mana yang sebenarnya bertanggungjawab, sedangkan kesan mendapan itu berlaku berhampiran lubang sistem kumbahan dan longkang utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya