PETALING JAYA: Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab utama teknologi di rantau Asia, Leave a Nest Group menerusi anak syarikatnya, Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. menyasarkan nilai pelaburan sebanyak RM40 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Leave A Nest Group, Dr. Yukihiro Maru berkata, jumlah sasaran tersebut diletakkan khusus untuk syarikat-syarikat pemula di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, menurut beliau, sasaran ditetapkan selepas melihat potensi Malaysia sebagai sebuah negara yang paling strategik untuk mengembangkan teknologi menerusi syarikat pemula.
“Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini mempunyai potensi yang besar memandangkan ia menawarkan pelbagai bidang sains dan teknologi. Kami mewujudkan ekosistem lengkap bagi memudahkan syarikat pemula ini berkembang kerana sebelum ini mereka tidak mempunyai platform dan sukar mencari teknologi yang bersesuaian.
“Kami telahpun membawa pelbagai teknologi Jepun menerusi Center Of Garage dan kemudian membina ekosistem dengan syarikat tempatan,” kata dalam satu kenyataan semalam.
Kata Yukihiro, pihaknya turut mensasarkan sekurang-kurangnya 50 syarikat pemula dengan 30 daripadanya syarikat dari Malaysia untuk terlibat dalam sektor pertanian, robotik serta teknologi angkasa.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia, Abdul Hakim Sahidi berkata, pencapaian itu menandakan komitmen syarikat dalam memupuk kemajuan sains dan teknologi di rantau ini.
Tambah Abdul Hakim, sepanjang 11 tahun penubuhannya, Leave a Nest Malaysia berjaya memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan lima agensi kerajaan di Malaysia, Vietnam dan Indonesia.
“Kami memberi sokongan kepada teknologi jangka panjang yang memberi impak kepada masyarakat. Usaha awal syarikat tertumpu kepada aktiviti berkaitan pendidikan, termasuk bengkel sains dan persidangan sains yang bertujuan untuk memupuk rasa ingin tahu dan minat terhadap sains di kalangan pelajar sekolah.
“Malah sehingga kini kami telah meterai pelbagai usahasama dengan syarikat korporat dan universiti awam bagi mengembangkan lagi teknologi ke peringkat yang lebih meluas. Sehingga hari ini, banyak syarikat pemula kami menjadi penanda aras dalam industri,” jelasnya.
Menurut Abdul Hakim, menerusi MoU berkenaan, Leave a Nest mencipta medium untuk membantu syarikat pemula Malaysia berkembang ke pasaran Jepun. – UTUSAN










