PETALING JAYA: Malaysia dijangka menjadi destinasi utama pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan keputusan kerajaan untuk terus membekukan pengambilan pekerja asing sedangkan permintaan di pasaran khususnya sektor 3D (bahaya, kotor, sukar) masih tinggi.
Bagi menangani isu kebanjiran PATI disebabkan peluang pekerjaan yang tidak diisi oleh rakyat tempatan, kerajaan digesa untuk mengkaji semula kuota 15 peratus penggajian pekerja asing di negara ini.
Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Datuk Foo Yong Hooi berkata, kuota ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu 15 peratus pekerja asing daripada keseluruhan guna tenaga kerja negara sudah tidak lagi praktikal.
Menurut beliau, ini kerana permintaan tenaga kerja asing di negara masih tinggi sejak kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing sejak Mac tahun lalu.
“Kebanyakan pekerja asing yang sah sudah pulang ke negara asal masing-masing apabila tempohnya tamat, tetapi majikan tidak dapat mengambil pekerja baharu kerana kuotanya dibekukan oleh kerajaan sejak dua tahun lalu.
“Hal ini menyebabkan majikan yang sangat memerlukan tenaga kerja terpaksa menggajikan PATI bagi menampung kekurangan tenaga kerja dihadapi mereka.
“Ini membuktikan bahawa kuota 15 peratus atau 2.5 juta pekerja asing tidak mencukupi. Jadi sudah tiba masanya, kerajaan mengkaji semula kuota tersebut, jika tidak ia akan menjadi penyumbang kepada kemasukan PATI ke negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan mengekalkan keputusan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Beliau berkata, jumlah pekerja asing dalam negara dipandu oleh ketetapan Kementerian Ekonomi dalam RMK12 iaitu sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan guna tenaga kerja dalam negara.
Namun, jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 September lalu telah menghampiri jumlah siling yang ditetapkan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Datuk Azman Yusoff berkata, pembekuan pengambilan pekerja asing mengakibatkan sektor pembinaan dan pengilangan terpaksa menghadapi kekurangan kira-kira 15,000 tenaga kerja asing.
Katanya, sektor-sektor tertentu yang sangat memerlukan pekerja asing, seperti perladangan dan pembinaan, mungkin akan terkesan secara negatif dalam jangka pendek.
“Oleh itu, kerajaan perlu memperkenalkan inisiatif untuk melatih pekerja tempatan dan menyediakan insentif kepada majikan bagi menarik lebih ramai pekerja tempatan.
“Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sangat membantu untuk jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tetapi cabarannya adalah pekerja tempatan belum bersedia menyertai sektor 3D,” katanya. – UTUSAN