BEIJING: Seorang vlogger makanan dari China digantung selepas siaran langsungnya yang menampilkan pilihan makanan pelik, termasuk gula-gula getah yang direndam dalam cuka tular dan dikhuatiri memberi pengaruh buruk kepada kanak-kanak.
Pempengaruh makanan tersebut, yang dikenali dengan nama pengguna @chenchenchen mengumpul sehingga 700,000 pengikut dan 10 juta tanda suka di tiga platform sebelum akaunnya digantung pada 11 Disember lalu, menurut laporan media China, The Paper.
Wanita itu mencipta pelbagai menu luar biasa, termasuk pil minyak ikan yang direndam dalam cuka. Dalam satu video pada bulan Jun, beliau menuangkan sebungkus pil ke dalam bekas cuka dan memakan kira-kira 20 pil.
Tindakannya menimbulkan persoalan mengenai keselamatan pengambilan jumlah minyak ikan yang begitu banyak dalam satu masa jauh melebihi had kesihatan yang disyorkan.
Malah, dia mengulangi tindakan sama dalam satu video lain pada Ogos lalu.
Dalam video lain, dia dilihat memakan sebungkus gula-gula getah yang direndam dalam cuka dengan menerima 390,000 tanda suka dan 140,000 komen.
Wanita itu juga menunjukkan dirinya memakan lapan pil pencernaan sekaligus, diikuti dengan secawan cuka serta serangga lipas kering yang digunakan sebagai ramuan dalam perubatan tradisional Cina.
Kandungan tersebut membangkitkan kemarahan ramai penonton menyebabkan mereka melaporkan akaunnya kepada platform media sosial.
Di satu platform, seorang murid sekolah rendah berkongsi video dirinya minum susu menggunakan penutup rambut pakai buang, mendakwa terinspirasi oleh @chenchenchen.
“Individu dari semua peringkat umur menggunakan platform media sosial ini. Bagaimana jika kanak-kanak yang belum mampu menilai baik buruk meniru tindakannya? Bagaimana platform membenarkan video sebegini?.
“Beliau patut digantung sepenuhnya, terutamanya apabila kanak-kanak mula menirunya,” kata seorang pengguna.










