KOSMA pelopori sektor tenaga hijau 

KOSMA pelopori sektor tenaga hijau 

EWON Benedict ( tengah ) bersama pegawai dan kakitangan KOSMA selepas majlis pecah tanah Perumahan Pekerja Ladang di Ladang Gajah Jinak Mukim Keratong di sini, semalam. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad ( KOSMA) menjadi contoh kepada koperasi lain di negara ini mempelopori  sektor tenaga hijau dan pengurusan kebajikan pekerja ladang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan  Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, KOSMA bukan hanya memberi tumpuan kepada keuntungan tetapi juga mengutamakan kebajikan pekerja dengan menyediakan 72 unit rumah baharu.  

Selain itu menurutnya,  KOSMA berusaha mengurangkan kos pentadbiran disebabkan pembekalan tenaga melalui bekalan tenaga genset  kepada projek solar yang lebih menjimatkan operasi.

“Projek solar yang dimulakan pada pertengahan 2023 dan kini mencapai kemajuan 96 peratus  menjadi perintis kepada penggunaan tenaga boleh baharu (RE).

“Faktor itu  dijangka akan meningkatkan pendapatan bersih KOSMA melalui pengurangan kos operasi yang keuntungannya akan dikembalikan kepada pemegang saham,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Perumahan Pekerja Ladang KOSMA di ladang KOSMA Muadzam Shah di sini, semalam.

Tambah Ewon, peralihan tenaga ladang KOSMA daripada genset yang menggunakan diesel kepada bekalan yang dijana secara solar, menunjukkan keupayaan KOSMA menceburi sektor berpertumbuhan tinggi.

Tambah beliau, ia  juga selaras dengan dasar kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi fokus besar kepada peralihan tenaga hijau.

” Apa yang dibuat KOSMA adalah terkehadapan dalam memberi keselesaan kepada pekerja mendiami rumah  yang lebih baik termasuk kemudahan lain seperti pengangkutan anak-anak  ke sekolah, kemudahan riadah dan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan pentadbiran koperasi boleh dijadikan iktibar dan motovasi kepada koperasi lain agar melaksanakan pengurusan yang baik.

“Saya percaya KOSMA akan terus bergerak maju ke hadapan dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang yang seterusnya mengulang kembali kejayaan koperasi terbaik satu ketika dahulu,” katanya.

Mengenai KOSMA beliau berkata,  KOSMA ditubuhkan pada 1967 mengendalikan perladangan kelapa sawit seluas 15,150 hektar yang kebanyakan di kawasan Pahang Tenggara.

Menurutnya, selain perladangan, KOSMA juga telah meluaskan perniagaannya dalam bidang perhotelan dengan  dua hotel mempunyai 60 bilik serta dua cawangan pajak gadai Ar Rahnu di Kuantan dan Temerloh. 

Beliau berkata, KOSMA mencatat perolehan sebanyak RM 156 juta tahun kewangan 2023 dalam aktiviti perladangan dengan anggaran peningkatan sebanyak 30 hingga 40 peratus bagi tahun 2024 di mana pengeluaran buah tandan segar (BTS) dijangka mencapai 270,000 tan metrik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN