Kes pukul: Nurul Shuhada diperintah datang mahkamah

Kes pukul: Nurul Shuhada diperintah datang mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini memerintahkan bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri untuk hadir ke mahkamah pada 20 Januari tahun depan.

Majistret Nurul Izzah Hassan Basri memerintahkan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan akan tetap meneruskan perbicaraan kes Hafidz yang didakwa mencederakan bekas isterinya itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Wiliams-Hunt memaklumkan pendakwaan berhasrat meneruskan perbicaraan itu selepas meneliti semua fakta-fakta kes.

“Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh perbicaraan untuk kes ini, ” kata Eirene Nabila yang turut memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan Hafidz berhubung pertuduhan tersebut.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Hafidz sekali lagi memaklumkan mahkamah bahawa pengadu iaitu Nurul Shuhada telah menarik balik laporan polis dibuatnya berhubung kejadian pukul itu pada 6 Julai lalu.

“Berdasarkan dokumen, kedua-dua pihak juga telah mencapai persetujuan yang baik di luar mahkamah. Pengadu (Nurul Shuhada) telah bersetuju menarik balik laporan polis. Namun pihak pembelaan tetap menghormati apa yang dinyatakan pendakwaan (teruskan kes),” kata peguam itu.

Ketika ditemui selepas prosiding berkata, Akberdin memberitahu, Nurul Shuhada perlu hadir bagi pengesahan kesahihan laporan polis tarik balik yang telah dibuat.

Awal Ogos lalu, media melaporkan Nurul Shuhada bersama dua anaknya sudah berhijrah ke Australia dan difahamkan menetap di Melbourne bagi menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan.

Malah dia juga tidak menolak untuk terus menetap di Australia dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh masa terdekat.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada, 30, dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi 2 Mac tahun lalu (2023) mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama. 

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN