HULU TERENGGANU: Anak kedua pasangan suami isteri yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 86, Jalan Gua Musang -Lojing, Gua Musang, Kelantan, kelmarin tidak mengetahui ibu dan bapanya bercuti ke Cameron Highlands, Pahang.
Nur Jihan Irdina Mohd. Junaizi, 13, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa bapanya, Mohd. Junaizi Jusoh, 48; ibu, Shazwani Ismail, 39; abangnya, Muhammad Fakrul Danish,18, dan ibu saudaranya, Farhana Ismail, 35, kira-kira pukul 4.30 petang, kelmarin.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan ahli keluarganya adalah pada cuti hujung minggu lalu dan pada hari kejadian dia berada di asrama Sekolah Sains Hulu Terengganu, di sini.
“Kini hanya tinggal saya berdua dengan adik, Nur Anis Zahra Nazihah yang berusia 12 tahun. Kami masih tidak pasti percaturan kehidupan baharu selepas ini tanpa ibu dan bapa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11.30 pagi kelmarin, Mohd. Junaizi, Shazwani, Muhammad Fakrul Danish dan Farhana yang dalam perjalanan untuk bercuti di Cameron Highlands maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki empat sekeluarga itu dirempuh sebuah lori membawa muatan batu di Kilometer 86, Jalan Gua Musang -Lojing.
Selain itu, pemandu lori , G. Mageswaran, 53, turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah tersepit di tempat duduk pemandu lori yang membawa muatan batu itu.
Sementara itu, Ketua jurulatih pasukan kriket Terengganu, Kamarudin Husin berkata, Muhammad Fakrul Danish yang merupakan anak didiknya adalah seorang atlet kriket yang berdisiplin dan komited.
Menurutnya, kejadian menimpa Allahyarham mengejutkan lebih-lebih lagi pasukan itu masih segar dengan kejayaan menang pingat gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) 2024, baru-baru ini.
Katanya, Muhammad Fakrul Danish mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan kriket malah sedang menunggu temu duga menyertai pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Allahyarham ialah tonggak utama pasukan kriket Terengganu dan sebahagian daripada skuad projek Sukma 2026/28 yang berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, Setiu,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah empat sekeluarga itu selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Payang Kayu.
Mohd. Junaizi disemadikan dalam satu liang lahad bersama Muhammad Fakrul Danish manakala Shazwani bersama Farhana. – UTUSAN










