Jurang sosioekonomi cabaran utama kerajaan hapus miskin tegar

Jurang sosioekonomi cabaran utama kerajaan hapus miskin tegar

JURANG sosioekonomi bandar dan luar bandar yang besar antara cabaran utama kerajaan untuk menghapuskan miskin tegar dalam kala­ngan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurang sosioekonomi bandar dan luar bandar yang besar antara cabaran utama kerajaan untuk menghapuskan miskin tegar dalam kala­ngan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Na­ib Canselor dan Rektor Universiti Awam, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, jurang itu boleh menjejaskan keberkesanan inisiatif yang diambil.

Katanya, ia berlaku teruta­ma pada golongan miskin luar bandar kerana kekurangan ak­ses kepada peluang yang sama seperti di bandar.

“Ketidakseimbangan dalam pembangunan ekonomi antara negeri-negeri, contoh Sabah dan Sarawak mempunyai kadar ke­miskinan masing-masing 19.5 dan 9 peratus yang mana mele­bihi kadar nasional 5.6 peratus.

“Membangunkan ekonomi luar bandar pula memerlukan pelaburan besar melibatkan infrastruktur asas seperti jalan raya, elektrik dan internet,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan sebanyak 65.6 peratus kemiskinan tegar daripada 22,893 telah diselesaikan berdasarkan rekod yang didaftarkan sehingga 1 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut bagaimanapun tidak memenuhi keseluruhan jumlah tuntutan, sekali gus meminta semua kerajaan negeri termasuk Kelantan membuat pendaftaran baharu bagi menyelesaikan masalah miskin tegar.

Tambah beliau, kerajaan juga berdepan cabaran dalam memastikan bantuan yang diberikan sampai ke golongan yang sepatutnya.

Katanya, bantuan yang di­sampaikan juga perlu bukan hanya meringankan beban namun turut membantu keluar dari kepompong kemiskinan secara berterusan.

“Korupsi dan ketirisan dalam pelaksanaan program bantuan kerajaan adalah cabaran besar yang boleh menghalang usaha pengurangan kemiskinan.

“Tetapi, walaupun bantuan kewangan adalah penting, namun kerajaan juga sentiasa berusaha melaksanakan pendekatan lebih menyeluruh untuk membantu golongan sasar berdikari seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, menghapuskan kemiskinan sepenuh­nya adalah sukar untuk dicapai secara mutlak.

Katanya, ia adalah kerana penyediaan persekitaran yang sesuai lebih efektif dalam membantu mengurangkan kadar ke­miskinan.

“Mungkin matlamat untuk mencapai sifar kemiskinan adalah masih jauh dan mungkin tidak akan tercapai.

“Namun, mereka perlu men­dapatkan persekitaran yang sesuai untuk keluar dari ke­miskinan itu. Jadi semua orang dalam isi rumah akan selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN