Gerakan GISBH sah menyimpang

Gerakan GISBH sah menyimpang

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan bersalaman dengan jemaah selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pegangan dalam gerakan Global Ikhwan Servi­ces and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) disahkan haram kerana berpegang kepada ajaran Al-Arqam yang mengamalkan Aurad Muhammadiah.

Khutbah Jumaat di masjid-masjid dan surau Jumaat seluruh negeri Selangor semalam menjelaskan, ajaran Al-Arqam sudah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak Februari 1993.

Khutbah itu turut menggariskan empat penyimpangan yang berlaku terhadap gerakan GISBH seperti pemujaan, ketaksuban dan pemujaan, berunsur khurafat dan syirik serta amalan poligami tidak menepati syarak.

“Wujud pemujaan berlebihan terhadap pemimpin iaitu Ashaari Muhammad yang dikenali pengikutnya sebagai ‘Abuya’ walaupun beliau sudah pun meninggal dunia pada 2010 dan percaya kebangkitan Imam Mahdi dikaitkan dengan Al-Arqam.

“Wujud unsur-unsur khurafat dan syirik dari ajaran asal Al-Arqam seperti minda Abuya adalah wahyu Tuhan, Allah akan beritahu kepada Abuya tentang sesuatu penyakit di kalangan pengikutnya serta dipercayai memiliki ramalan tentang masa depan. Dalam Islam, syirik dan khurafat adalah dosa besar yang paling besar.

“Kepercayaan dan amalan poligami yang tidak mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa,” me­nurut khutbah berkenaan.

Khutbah itu turut mengimbau sejarah penubuhan Al-Arqam pada 1968 sebelum pengharamannya pada 1994 yang membawa kepada penubuhan Rufaqa’ Co. dan kemudiannya, GISBH.

“Mereka mengendalikan pelbagai jenis perniagaan, terma­suk restoran, penginapan, perniagaan peruncitan dan khid­mat sosial di bawah jenama ini. Pe­ngaruh Ashaari masih kuat dalam kumpulan ini walaupun selepas pengharamannya.

“Kes Global Ikhwan mencerminkan bagaimana sebuah organisasi yang pernah diharamkan kerana ajaran sesat boleh meneruskan pengaruhnya da­lam masyarakat melalui perniagaan dan aktiviti sosial.

“Walaupun ia tidak lagi secara terang-terangan menyebarkan ajaran yang sama, pengaruh dan nilai-nilai yang diasaskan oleh Al-Arqam masih dilihat dalam operasi dan struktur organisasi ini,” jelasnya.

Khutbah sama menasihatkan umat Islam mengambil pengajaran daripada pembongkaran isu GISBH dan menjadikannya sempadan supaya tidak tersasar daripada akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×