Gaya hidup mewah, hutang punca muflis

Gaya hidup mewah, hutang punca muflis

KAKITANGAN awam perlu lebih pandai dalam menguruskan wang dan cuba elakkan diri daripada membuat sebarang pinjaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terperangkap dengan gaya hidup mewah, pinjaman peribadi dan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) antara punca 13 peratus penjawat awam muflis.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin, sesetengah penjawat awam terlalu selesa dengan kelebihan yang diberikan seperti kenaikan gaji menyebabkan mereka boros dan tidak tahu menguruskan kewa­ngan dengan baik.

“Penjawat awam ada kenaikan gaji, mudah mendapat pinjaman, jadi mereka menjadi boros berbelanja dan akhirnya muflis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Jabatan Insolvensi mendedahkan kira-kira 10 hingga 13 peratus daripada kes keban­krapan baharu yang didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh hampir empat tahun ini membabitkan penjawat awam.

Jumlah kakitangan awam yang muflis itu amat membimbangkan kerana ia semakin meningkat dari tahun ke tahun walaupun data kebankrapan nasional me­nunjukkan penurunan.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk M. Bakri Abd Majid berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana dalam perkhidmatan awam, kakitangan yang mempunyai hutang yang serius (keterhutangan) adalah satu kesalahan dan ia dinyatakan secara jelas di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Tambah Adnan, selain itu, faktor ekonomi yang semakin menekan seperti kenaikan harga barang dan kos sara hidup menjadi punca penjawat awam terlibat dengan muflis.

“Harga barangan semakin mahal, mungkin mereka terpaksa membuat pinjaman peribadi dan akhirnya terperangkap,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah terbaik yang perlu dilakukan adalah me­ngawal dari segi tabiat berbelanja.

“Mereka perlu lebih pandai dalam menguruskan wang dan cuba elakkan diri daripada membuat sebarang pinjaman terutama dengan kenaikan gaji nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN