Broker haram tipu pembeli hartanah

Broker haram tipu pembeli hartanah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 1,500 individu menjadi mangsa sindiket penipuan hartanah dengan jumlah kerugian hampir RM60 juta dalam tempoh 2019 hingga tahun lalu.

Pendaftar Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEPH), Pamela Anthony berkata, ia berpunca akibat kewujudan ratusan broker haram yang menyamar sebagai ejen hartanah berdaftar (REA) dan perunding perejenan hartanah (REN).

Katanya, terdapat juga kes penipuan pelaburan hartanah membabitkan lebih 80 mangsa melaporkan kerugian melebihi RM11 juta hanya daripada satu skim penipuan.

“Kebanyakan broker haram ini tidak jujur, semata-mata mahu dapat untung dan ada yang melarikan diri secara tiba-tiba. Mereka larikan wang pelanggan, biasanya wang deposit yang telah dibayar.

“Selain itu, broker haram ini boleh dikenali apabila cuba memberikan fakta palsu atau memanipulasi harga hartanah sehingga menjejaskan profesion ejen berdaftar lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pamela memberitahu, pada masa ini terdapat 3,121 REA dan 74,545 REN berdaftar yang boleh disemak melalui laman web LPPEPH.

Selain nama, nombor REA dan REN, nombor telefon bimbit ejen hendaklah menepati rekod LPPEPH.

“Pihak LPPEPH hanya dapat mengenal pasti firma-firma guaman yang mengeksploitasi jawatannya sebagai REA atau REN melalui aduan orang awam,” ujarnya.

Jelasnya, seseorang peguam juga tidak boleh diiktiraf mahupun layak secara automatik sebagai REA dan REN kerana pengiktirafan sebagai REA dan REN mesti menduduki peperiksaan dan menghadiri Kursus Perunding Hartanah (NCC).

Pada masa sama, REA ataupun REN tidak boleh memegang kedua-dua profesion ini pada masa serentak.

“Orang awam disaran mengenal pasti identiti REA dan REN untuk mengelakkan sebarang keraguan dengan membuat semakan status pendaftaran ejen melalui laman web itu.

“Orang awam dikehendaki untuk semak sama ada REA atau REN tersebut memakai tag yang diiktiraf oleh LPPEPH,” katanya.

Menurutnya, jika skim jual beli yang ditawarkan atau pengiklanan yang dipaparkan nampak mencurigakan, orang awam disaran membuat semakan dengan LPPEPH melalui e-mel.

Katanya, pihak LPPEPH akan membuat siasatan ke atas skim jual beli yang ditawarkan atau pengiklanan yang dipaparkan sama ada ia sah atau tidak dari segi undang-undang.

“Pembeli perlu ‘berkeras’ untuk melihat hartanah sendiri sebelum membuat sebarang pembayaran. Berhati-hati dengan ejen yang menolak atau mencipta pelbagai alasan untuk tidak membenarkan pemeriksaan fizikal.

“Gunakan kaedah pembayaran selamat untuk transaksi dan elak memindahkan sejumlah besar wang tanpa dokumentasi dan pengesahan yang betul dan memastikan pembayaran dibuat kepada agensi hartanah berdaftar dan/atau pihak berkepentingan undang-undang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN