PETALING JAYA: Bank Rakyat meluluskan pembiayaan RM33.17 juta menerusi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dalam tempoh empat bulan sejak Jun lalu bagi menyokong perniagaan komuniti usahawan India.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program pembiayaan yang memperuntukkan dana keseluruhan RM50 juta itu sehingga kini ssudah memberi manfaat kepada 384 usahawan pelbagai sektor sejak dilancarkan pertengahan tahun ini.
Menurut beliau, setakat 14 Oktober BRIEF-i meluluskan pembiayaan RM33.17 juta kepada 384 usahawan India di seluruh negara yang terdiri dari pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perkhidmatan, peruncitan, makanan dan minuman serta pelbagai sektor lain.
Beliau turut menekankan bahawa kemajuan dalam sektor keusahawanan adalah antara intipati pelaburan terpenting bagi pembangunan ekonomi negara dan golongan usahawan bukan sahaja penyedia peluang pekerjaan tetapi juga pemacu inovasi kepada pertumbuhan pelbagai bidang dan industri.
“Untuk mencapai pertumbuhan ini, kerjasama yang erat antara kerajaan dengan institusi kewangan seperti Bank Rakyat adalah signifikan bagi membantu usahawan mencapai matlamat perniagaan mereka.
“Dalam usaha membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan dinamik, perhatian perlu diberikan kepada setiap lapisan masyarakat.
“Saya pasti dengan kelangsungan program pembiayaan seperti BRIEF-i, kerajaan dapat memastikan lebih ramai usahawan India mampu mengakses dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka, sekali gus memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat India,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Deepavali
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam mengakses kemudahan kewangan.
Katanya, Bank Rakyat sentiasa tampil ke hadapan sebagai salah satu peneraju dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan progresif seiring dengan konsep Malaysia Madani.- UTUSAN










