Banjir antara faktor pelaburan sektor kilang Selangor turun - Sukri

Banjir antara faktor pelaburan sektor kilang Selangor turun – Sukri

Banjir Selangor
SUKRI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pas Selangor mendakwa negeri ini mengalami penurunan kadar pelaburan diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 sebanyak 50.31 peratus berbanding RM14.75 bilion pada tahun lalu.

Dakwaan tersebut berdasarkan daripada laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang merujuk kepada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan atau perkilangan bernilai RM7.33 bilion pada tempoh tersebut.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, situasi tersebut dipercayai berlaku apabila pemain industri dalam sektor tersebut dikatakan enggan memilih kawasan yang mudah dilanda banjir kerana boleh menjejaskan operasi dan menyebabkan kerugian.

“Saya juga timbulkan kemungkinan kerana sebagai seorang pelabur yang mahu membuka kilang pembuatan, sudah tentu mereka mahu melabur di negeri yang bebas daripada banjir yang bakal mengganggu operasi mereka apatah lagi boleh menyebabkan kerugian,” katanya, hari ini.

Malah, beliau turut mendakwa Menteri Besar, Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari gagal menjelaskan kepada rakyat berkenaan peruntukan berjumlah berbilion ringgit didakwa diterima daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek tebatan banjir.

“Saya mendesak Menteri Besar Selangor untuk membentangkan progress report semua projek tebatan banjir yang telah, sedang dan akan dijalankan, serta bentangkan juga plan vs actual bagi semua projek-projek ini.

“Kita mahukan ketelusan dari MB Selangor, bukan berdolak dalih,” tegasnya.

Terdahulu, Mohamed Sukri dilapor mempertikai tindakan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah banjir di Selangor selepas beberapa daerahnya terjejas dengan bencana susulan hujan lebat baru-baru ini.

Beliau mendakwa, Selangor menjadi negeri paling tinggi menerima peruntukan tebatan banjir iaitu sebanyak RM6.3 bilion pada 2022 dan RM1.1 bilion pada 2023 masing-masing diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat kini, berapa billion lagi yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah banjir di Selangor?” soalnya.

Bagaimanapun, dakwaannya itu ditempelak Setiausaha Politik kepada Amirudin, Saifuddin Shafi Muhammad yang menyifatkannya sebagai ‘bodoh sombong’ kerana mengaitkan banjir dengan jumlah pelaburan di Selangor.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM12.4 bilion bagi suku pertama tahun ini dan berdasarkan laporan MIDA, ia meningkat sebanyak 66.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang merekodkan RM7.44 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN