42,615 rakyat Palestin terkorban sejak serangan hampir setahun

42,615 rakyat Palestin terkorban sejak serangan hampir setahun

Sanak-saudara meratapi kematian saudara lelaki mereka akibat serangan tentera Israal di Kem Pelarian Al-Bureij di Tengah Gaza semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang setahun pencerobohan dan serangan kejam rejim Zionis terhadap Gaza pada 7 Oktober ini, seramai 42,615 rakyat Palestin terkorban dengan 10,000 lagi masih hilang namun dipercayai sudah meninggal dunia.

Lebih memilukan, daripada jumlah yang terkorban itu, seramai 16,891 adalah kalangan kanak-kanak, wanita (11,458) dan bayi baru lahir (171) menjadikan 69 peratus mangsa serangan kejam tentera Israel merupakan golongan tidak berdosa.

Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh berkata, selain wanita dan kanak-kanak, seramai 986 petugas kesihatan, 174 wartawan dan 85 petugas pertahanan awam turut terkorban dalam serangan yang sudah masuk hari ke 361.

Katanya, serangan kejam rejim Zionis terhadap Gaza juga mengakibatkan seramai 36 rakyat Palestin maut akibat kebuluran setakat ini.

“Dalam keadaan sistem kesihatan yang sudah tenat, seramai 96,359 orang mengalami kece­deraan termasuk 396 petugas media dan wartawan dengan 12,000 daripadanya sangat memerlukan rawatan segera di luar negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abu Ayesh yang juga Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) Pa­lestin berkata, serangan kejam Israel juga mengakibatkan 25,973 kanak-kanak kini bergelar anak yatim akibat hilang ibu atau bapa.

Selain itu, katanya, 3,500 kanak-kanak kini berdepan kematian akibat kekurangan nutrisi dan bekalan makanan di Gaza.

“Semalam sudah masuk hari ke 147 rejim Zionis menutup pintu sempadan Gaza mengakibatkan 12,000 pesakit tak boleh keluar mendapatkan rawatan.

“Berdasarkan statistik, terdapat 1.73 juta rakyat Palestin di Gaza dijangkiti penyakit berjangkit akibat menjadi pelarian, sebanyak 71,338 daripadanya menghidap hepatitis,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×