MARAN: Sebanyak 404 unit Rumah Pahang melibatkan tiga projek di Felda Jengka 1, 11 dan Sungai Retang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap secara berperingkat tahun depan.
Pengarah Urusan KMDI Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, tiga projek berkenaan sudah mencapai 65 peratus siap di Felda Sungai Retang, Felda Jengka 1 (50 peratus) dan 70 peratus di Felda Jengka 11.
Beliau berkata, syarikat tersebut mengambil alih projek Rumah Pahang yang sebelum ini dikenali sebagai Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) pada Ogos 2022.
“Masa kita mengambil alih pembinaan, lokasi PGBF majoritinya dinaiki semak samun dan terbengkalai tujuh hingga 12 tahun.
“Keutamaan buat masa ini adalah di tiga projek iaitu di Felda Sungai Retang, Felda Jengka 1 dan Felda Jengka 11. Kita jangka tahun depan siap sepenuhnya secara berperingkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pada 13 April 2022, kerajaan negeri meluluskan cadangan pengambilalihan projek PGBF yang terbengkalai dibuat secara usahasama oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dan pihak pemaju.
Kerajaan negeri pada 3 Ogos 2022 meluluskan cadangan pemulihan dan pengambilalihan PBGF secara usahasama antara kerajaan negeri dan KDMI Holdings.
Selain tiga projek berkenaan, KMDI turut mengambil alih pembinaan PGBF di tujuh lokasi lain di Felda Keratong 7, Kampung Awah, Bukit Sagu, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Bukit Tajau.
Azjuriyahti berkata, majoriti daripada tujuh projek berkenaan kini sedang dalam perancangan kelulusan infra.
“Terdapat juga beberapa projek menunggu kelulusan daripada pejabat tanah dan jabatan-jabatan berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan tujuh projek terbabit dijalankan serentak selepas Rumah Pahang di Felda Jengka 1, 11 dan Felda Sungai Retang siap sepenuhnya. – UTUSAN










