KUALA LUMPUR: Wartawan Utusan Malaysia, Siti Maisarah Sheikh Rahim menerima Anugerah Khas Individu sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan (WP) 2024, semalam.
Anugerah tersebut diberikan atas jasa dan sumbangan beliau yang besar terhadap penulisan artikel melibatkan pembangunan islam, ajaran sesat, isu-isu kekeluargaan isu pensijilan halal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyampaikan anugerah tersebut dalam majlis yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur .
Sementara itu bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dianugerahkan Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan dan aktivis masyarakat, Mohamad Azhan Mohamed Adnan atau lebih dikenali sebagai Abe Hae menerima Anugerah Khas Individu.
Anugerah Khas Organisasi pula diberikan kepada Masjid Mahmoodiah, Presint 18 Putrajaya (Kategori Masjid), Kategori Surau, Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat; Kategori SRA/SIRAJ, Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI Saidina Uthman bin Affan; Kategori Sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1) Putrajaya; dan Kategori NGO, Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA).
Dalam pada itu Mohd. Naim berkata, penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul SAW diadakan sebagai salah satu bentuk pengiktirafan dan memberikan inspirasi kepada masyarakat terhadap sumbangan dan peranan bagi membangunkan syiar Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Semoga anugerah pada hari ini menjadi pemangkin semangat kepada semua pihak untuk terus melipatgandakan lagi usaha dakwah pada masa hadapan,” katanya.
Beliau juga menyeru umat Islam di Wilayah Persekutuan berusaha untuk membina perpaduan ummah di samping memperkukuh keharmonian bermasyarakat melalui penghayatan terhadap Rasulullah SAW.
Yang hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd. Ajib Ismail; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. – UTUSAN