PETALING JAYA: Draf perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dikemukakan kerajaan akan menjadi asas kepada perbincangan sekiranya ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) masih mahukan peruntukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiada keperluan mewujudkan draf perjanjian yang baharu bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Katanya, draf MoU yang diserahkan kepada PN sebelum ini adalah asas kepada perbincangan antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, jika PN masih mahu meneruskan perbincangan maka mereka perlu memberi maklum balas secara rasmi berdasarkan draf MoU tersebut dan bukannya menerusi kenyataan kepada media.
“Mereka (PN) sudah membuat kenyataan (menerusi media) menolak perbincangan dengan kerajaan, tetapi sehingga kini tidak berhubung dengan kami (secara rasmi).
“Apabila mereka menolak, kerajaan menghormati keputusan itu dan kita terima tolakan mereka tetapi (jika mereka meminta) draf baharu, apa lagi yang hendak dibuat kerana draf sedia ada itulah asas untuk kami berbincang,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Keselamatan Sosial Antarabangsa di Kuching, semalam.
Terdahulu, media melaporkan, PN akan membincangkan semula berkait MoU peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekiranya kerajaan menyediakan satu draf baharu.
Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu PN mahu sebuah jawatankuasa bersama diwujudkan bagi membincangkan intipati yang akan dimasukkan dalam MoU tersebut.
Menurutnya, jika kerajaan mahu mengekalkan kandungan MoU yang sedia ada ketika ini, PN menutup pintu rundingan berkait perkara tersebut.
Perkembangan itu selepas semua ahli Parlimen PN dilaporkan sebulat suara menolak MoU kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.
Selain itu, katanya, mengongkong kebebasan di samping boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa. – UTUSAN










