PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Ant International memperkukuh kerjasama untuk mempercepat transformasi digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang baru ditandatangani, Ant International akan memperkasa PMKS tempatan melalui EPOS, platform transformasi PMKS menyeluruh dari Antom yang menawarkan rangkaian penyelesaian digitalisasi yang komprehensif.
MDEC akan menyokong program itu dengan menghubungkan komuniti PMKS, persatuan industri, dan rakan ekosistem bagi memacu penggunaan digital secara meluas di seluruh negara.
Inisiatif itu terbina daripada kerjasama sedia ada antara MDEC dan Ant International yang menyokong bakat tempatan dan pembangunan inovasi melalui pusat perniagaan digital globalnya di Kuala Lumpur di bawah Inisiatif Pendigitalan Perniagaan (BDI).
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, pendigitalan kini menjadi keperluan asas bagi PMKS untuk kekal kompetitif dan berdaya tahan.
“Kerjasama yang diperkukuh bersama Ant International secara langsung menyokong perjalanan Malaysia dalam menuju Negara Kecerdasan Buatan (AI), memastikan setiap perusahaan, termasuk yang bersaiz kecil dapat mengakses alat moden berasaskan AI.
“Dengan menggabungkan teknologi global dengan keutamaan nasional, kami memperkasakan PMKS untuk mengubah cara mereka beroperasi, mengukuhkan asas perniagaan, dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan.
PMKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia dengan menyumbang 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini. Namun, masih banyak PMKS yang menghadapi cabaran dalam menggunakan alat digital disebabkan oleh akses yang terhad, kos yang tinggi, dan kekurangan pengetahuan teknikal.
Kerjasama itu diwujudkan untuk merapatkan jurang tersebut. Melalui EPOS, Ant International akan menggabungkan ekosistem penyelesaian digital dan teknologi AI terkini ke dalam satu platform tunggal yang mengintegrasikan pembayaran, penyelesaian perbankan digital, dan alat perkembangan yang disesuaikan untuk PMKS.
Ketua Pegawai Eksekutif EPOS, Ian Cheong berkata, PMKS Malaysia mempunyai cita-cita yang tinggi dan berdaya tahan, tetapi mereka memerlukan alat yang tepat untuk bersaing dalam ekonomi digital.
“MDEC telah mencapai perkembangan besar dalam pendigitalan PMKS. Melalui EPOS, kami dapat memperkukuhkan lagi strategi nasional ini. Teknologi canggih yang boleh diakses dalam beberapa minit membolehkan setiap perniagaan, tanpa mengira saiz, dapat beroperasi dengan lebih pintar, melayani pelanggan dengan lebih baik, dan berkembang dengan yakin, sekaligus memastikan tiada PMKS yang ketinggalan,” katanya. – UTUSAN










