TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran tetapi Teheran membalas serangan dengan menyerang sekutu-sekutu AS di Teluk pada Khamis, ketika kedua-dua musuh itu bertempur untuk menguasai Selat Hormuz yang amat penting dalam perang baharu di Asia Barat.
Teheran menegaskan bahawa laluan utama minyak dan gas itu berada di bawah kawalannya.
Ia kini menjadi tumpuan utama dalam pertempuran yang memasuki hari keenam, walaupun kedua-dua pihak sebelum ini mencapai perjanjian awal pada Jun bagi menamatkan perang.
Menurut Markas Pusat Amerika (CENTCOM) tentera AS menyerang sasaran ketenteraan Iran di beberapa lokasi termasuk kawasan pesisir Bandar Abbas bagi melemahkan keupayaan Iran mengancam kelasi-kelasi kapal yang tidak bersalah di Selat Hormuz.
Menurut CENTCOM, serangan terdahulu turut menyasarkan kemudahan pertahanan pantai dan lokasi peluru berpandu di Pulau Greater Tunb di Teluk.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan letupan berlaku di beberapa kawasan negara itu pada Khamis, termasuk Lorestan di bahagian barat dan Semnan di utara, manakala sistem pertahanan udara diaktifkan di beberapa kawasan Teheran.
Tidak lama kemudian, sekutu AS di Teluk mula melaporkan serangan dengan Kuwait berkata, pihaknya memintas dron Iran manakala Bahrain membunyikan siren serangan udara.
Iran menutup Selat Hormuz selepas perang tercetus susulan serangan AS-Israel pada 28 Februari sebagai tekanan terhadap musuh-musuhnya selama beberapa bulan.
Selat itu dibuka semula buat sementara waktu selepas perjanjian antara Amerika dan Iran bulan lalu, sebelum Teheran minggu lalu berikrar bahawa ia akan ditutup semula sehingga AS menghentikan pencerobohannya.
Tentera Iran berkata, pihaknya telah menyasarkan kemudahan ketenteraan AS di Jordan menggunakan dron, sebagai tindak balas terhadap pencerobohan musuh, lapor televisyen rasmi negara itu, IRIB.
Sebelum itu, tentera Amerika berkata, sebuah pesawatnya telah melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal tangki minyak tanpa muatan menyebabkan kapal itu tidak dapat meneruskan pelayaran.
Ia berlaku selepas kapal itu cuba melanggar sekatan laut yang dikenakan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.
Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengancam untuk menutup semua laluan eksport yang digunakan AS dan sekutunya selepas Teheran menutup Selat Hormuz dan Washington mengenakan semula sekatan laut ke atas pelabuhan Iran.
Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, IRGC dalam satu kenyataan menegaskan eksport tenaga di rantau itu perlu melibatkan semua pihak.
Penganalisis yang dipetik Reuters berkata, kenyataan itu memberi isyarat Iran mungkin bergantung kepada sekutunya, kumpulan Houthi di Yemen, untuk menutup Selat Bab al-Mandab, laluan perairan strategik yang menghubungkan kapal ke Laut Merah.
Langkah itu berpotensi membuka satu lagi medan konflik terhadap Washington, selain mengancam dua daripada laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia.
Selat Bab al-Mandab menghubungkan Laut Merah dan Teluk Aden selain merupakan laluan utama bagi eksport minyak Arab Saudi, termasuk sebahagian besar perdagangan maritim global.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Iran melaporkan, sekurang-kurangnya 35 orang awam terbunuh dan lebih 300 yang lain cedera dalam serangan AS di selatan Iran kelmarin.
Jurucakap kementerian itu, Hossein Kermanpour, berkata bahawa wilayah Hormozgan, Sistan, Baluchestan dan Khuzestan merupakan kawasan yang paling teruk terjejas akibat serangan tersebut.
Walaupun permusuhan kembali tercetus, rundingan yang di antara pihak pengantara dengan kedua-dua pihak masih belum ditamatkan secara rasmi.
Bagaimanapun, ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf memberi amaran bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujuinya bulan lalu dengan AS hanya bermakna apabila setiap klausa di dalamnya masih sah dan sedang dilaksanakan.
“Jika Iran tidak memperoleh sebarang manfaat daripada memorandum persefahaman itu, kami tiada sebab untuk terus mematuhinya,” katanya dalam satu kenyataan. – AGENSI










