TUMPAT: Seorang anak terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan barangan peninggalan arwah ibunya selepas rumah pusaka keluarganya musnah dalam kebakaran di Kampung Berangan Masjid, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam semasa Nik Siti Nor Hamzani Mohd. Ghani, 28, yang masih bujang tinggal seorang diri di rumah tersebut.
Katanya, dia menyedari kebakaran itu ketika mahu mengambil pengecaj telefon berhampiran bilik tidur arwah ibunya, Tengku Hafpasah Tengku Senik.
“Saya melihat api di dalam bilik tidur arwah ibu sebelum bahagian dinding bilik itu terbakar dan merebak ke lantai.
“Api marak menyebabkan saya panik dan tidak sempat berbuat apa-apa. Saya hanya fikir mahu cepat-cepat keluar rumah menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Nik Siti Nor Hamzani berkata, oleh kerana terlalu panik, dia terlupa lokasi simpanan kunci pintu jeriji sehingga mengambil masa beberapa minit untuk mencarinya.
Katanya, dia keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang dan hanya sempat mengambil telefon bimbit.
“Saya terkilan apabila semua barangan arwah ibu yang meninggal dunia lima tahun lalu musnah dijilat api.
“Gambar dan semua pakaian milik ibu yang disimpan rapi sebagai kenangan habis terbakar. Itu adalah kenangan saya sangat sedih kerana semua kenangan bersama arwah ibu jadi abu,” ujarnya.
Nik Siti Nor Hamzani memberitahu, selain wang simpanannya sebanyak RM800 terbakar, beberapa ekor kucing peliharaan turut mati akibat terperangkap di dalam rumah semasa kejadian.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Lizan Abu Bakar berkata, 80 peratus bahagian rumah separa kekal itu musnah dalam kebakaran tersebut dan api dapat dikawal kira-kira pukul 12.59 tengah malam. – UTUSAN










