KUALA LUMPUR : Seramai 20 orang anak-anak dari golongan B40 berumur lima hingga 12 tahun menyertai program pendedahan dan kemahiran renang anjuran Royale Chulan Hotels & Resorts.
Program tersebut adalah kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, dimana ia merupakan sebahagian dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah payung RC Peduli, juga bersempena dengan ulang tahun ke-20 Royale Chulan.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan, Dangsuria Zainurdin, program ini merupakan manifestasi komitmen kepada komuniti, selaras dengan slogan syarikat, ‘Malaysian Hospitality from the Heart.’
“Kami percaya bahawa hospitaliti sejati bukan hanya tentang memberikan layanan yang terbaik kepada para tetamu, tetapi juga tentang menyentuh hati dan kehidupan komuniti di sekitar kami. Melalui program ini.
“Kami berharap dapat memberikan kemahiran yang berharga kepada anak-anak ini serta menyemai rasa percaya diri dalam diri mereka.” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Program ini merupakan salah satu daripada pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh Royale Chulan untuk meraikan ulang tahun ke-20, dengan fokus kepada memperkukuhkan lagi jenama sebagai hotel Malaysia yang mengutamakan nilai-nilai murni dan kecemerlangan dalam perkhidmatan.
Mengulas lanjut, Dangsuria turut berkata, program pendedahan renang ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan asas-asas berenang kepada kanak-kanak, tetapi juga untuk memupuk kesedaran tentang pentingnya keselamatan air di kalangan mereka.
“Dengan adanya kolaborasi ini, Royale Chulan berharap agar usahasama dengan pejabat DUN Kota dapat diperluaskan menerusi pelbagai inisiatif untuk memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan,” ujarnya lagi. – UTUSAN










