Hutang keluarga punca jadi PATI 

Hutang keluarga punca jadi PATI 

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bebanan hutang keluarga mencecah puluhan ribu ringgit mendorong seorang wanita warga Indonesia memasuki ke Malaysia untuk bekerja secara tidak sah bagi membantu keluarganya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan dibuat oleh wanita yang dikenali Lili itu selepas keluarganya di kampung halaman berdepan tekanan kewangan hingga memaksanya mencari pendapatan di luar negara.

Dia yang bekerja di sebuah pusat urut tradisional mengakui sebahagian pendapatannya dihantar pulang setiap bulan bagi melangsaikan hutang keluarga.

“Saya datang ke sini kerana keluarga saya berhutang puluhan ribu ringgit. Saya perlu bekerja untuk membantu mereka melangsaikan hutang itu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Lili antara PATI ditahan dalam Ops Kutip oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Pasar Pudu semalam ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya.

Sementara itu, seorang lagi warga asing dikenali sebagai Rahman cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak penguat kuasa mengakui sudah menetap di Malaysia sejak kira-kira 10 tahun lalu dan pasport miliknya telah tamat tempoh.

“Saya memang ada hasrat untuk memperbaharui dokumen perjalanan, namun keadaan kewangan yang terhad menyebabkan perkara tersebut tertangguh,” katanya.

Tambah Rahman, dia bekerja sebagai penjual sayur dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan selain tinggal menyewa bersama beberapa rakan.

Selain itu, tinjauan mendapati beberapa warga asing yang kebanyakkan bekerja sebagai pekerja pasar, pembantu kedai dan penjaja kecil cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa dan berjaya ditahan di lokasi.

Dalam pada itu, JIM Kuala Lumpur memaklumkan operasi berkenaan menahan seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kami mengingatkan agar semua warga asing supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen serta memastikan dokumen perjalanan dan pas kerja masih sah digunakan,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN