Prestasi perbelanjaan KKDW cecah 98.52 peratus

Prestasi perbelanjaan KKDW cecah 98.52 peratus

MAJLIS pelantikan watikah kumpulan pemikir KKDW.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dalam mengurus Program Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar (PPILB) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Antara projek yang dilaksanakan ialah Jalan Luar Bandar (JALB), Jalan Perhubungan Desa (JPD), Jalan Ladang atau Jalan Pertanian (JLP), Program Ameniti Sosial (PAMS), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Lampu Jalan Kampung (LJK), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) bagi bina baharu dan baik pulih, serta Program Pemajuan Kawasan (PPK).

Setiap tahun, Kementerian Kewangan (MOF) menyediakan peruntukan pembangunan (DE) kepada KKDW. Sepanjang tempoh RMK-12 dari 2021 hingga 2025, sebanyak RM34.44 bilion telah dibelanjakan bagi membiayai PPILB.

Permohonan PPILB dibuat mengikut keutamaan atau wish list negeri berdasarkan Rolling Plan yang ditetapkan. Agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sarawak, JKR Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bekalan Air, Bahagian Teknikal KKDW serta agensi lain yang dilantik.

Prestasi Perbelanjaan Pembangunan

Berdasarkan data RMK-12, prestasi perbelanjaan pembangunan (DE) ialah:

  • 2021: 96.90%
  • 2022: 97.50%
  • 2023: 99.90%
  • 2024: 98.70%
  • 2025: 98.52%

Prestasi tersebut secara konsisten melebihi sasaran 95 peratus yang ditetapkan oleh MOF dan Kementerian Ekonomi (KE).

Kadar perbelanjaan pembangunan yang tinggi menunjukkan keupayaan pelaksanaan projek yang lebih cekap, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan yang boleh menjejaskan manfaat kepada rakyat.

Prestasi Output Fizikal Infrastruktur Luar Bandar

Sepanjang RMK-12, sebanyak 618.9 kilometer JALB dan 3,872.3 kilometer JPD/JLP berjaya dibina atau dinaik taraf walaupun berdepan cabaran geografi dan topografi kawasan pedalaman.

Pembinaan jalan luar bandar meningkatkan keterhubungan komuniti, memudahkan akses ke pasaran, perkhidmatan kesihatan serta peluang pekerjaan.

Bagi PAMS, sebanyak 3,175 projek berjaya disiapkan untuk kemudahan penduduk kampung. BELB pula membekalkan elektrik kepada 7,013 rumah, manakala sebanyak 43,850 unit Lampu Jalan Kampung dipasang.

Penyambungan bekalan elektrik bukan sahaja menyediakan kemudahan asas, malah membuka peluang kepada aktiviti ekonomi, pendidikan digital dan peningkatan produktiviti masyarakat luar bandar.

BALB membekalkan air bersih kepada 10,673 rumah. Di bawah PPRT/PPRS pula, sebanyak 11,904 unit rumah bina baharu disiapkan, manakala 55,832 unit rumah dibaik pulih.

Hasil Terhadap Pembangunan Sosioekonomi

PPILB menunjukkan korelasi positif dengan petunjuk utama ekonomi makro apabila dibandingkan antara RMK-11 dan RMK-12.

Antaranya ialah:

  • Pertumbuhan KDNK meningkat daripada 2.7% kepada 5.2%.
  • Pendapatan Negara Kasar per kapita meningkat daripada RM42,503 kepada RM54,793.
  • Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) meningkat daripada RM6,764 kepada RM7,111.
  • Nisbah pendapatan desa kepada bandar meningkat daripada 0.58:1 kepada 0.584:1.

Turut mencatat peningkatan ialah:

  • Akses internet isi rumah: 88.0% kepada 98.7%.
  • Enrolmen prasekolah: 90.2% kepada 93.5%.
  • Enrolmen sekolah menengah: 92.4% kepada 95.0%.
  • Kebolehpasaran TVET: 85.0% kepada 92.5%.
  • Tenaga buruh berkemahiran: 27.0% kepada 32.0%.

Dalam masa sama, beberapa indikator sosial menunjukkan penambahbaikan:

  • Pekali Gini menurun daripada 0.367 kepada 0.350.
  • Kadar kemiskinan mutlak menurun daripada 12.4% kepada 9.9%.
  • Kadar kemiskinan tegar menurun daripada 0.4% kepada 0.2%.
  • Kadar pengangguran menurun daripada 4.5% kepada 3.2%.

Data fungsi teras agensi KKDW turut merekodkan:

  • Enrolmen Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS bagi kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun seramai 1,056,197 orang.
  • Enrolmen Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) KEMAS bagi kanak-kanak berumur 2 hingga 4 tahun seramai 51,135 orang.
  • Enrolmen ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mencecah 170,000 pelajar.

Bagi masyarakat Orang Asli, seramai 132,793 murid memasuki sekolah rendah dan menengah, manakala 2,102 pelajar melanjutkan pengajian ke kolej dan universiti.

Program pembangunan usahawan desa meningkat kepada 69,027 usahawan, manakala program TVET@KKDW mencatatkan penyertaan 144,074 pelajar atau pelatih.

Dapatan temu bual turut menyokong data kuantitatif apabila responden menyifatkan infrastruktur yang disediakan sebagai memberi kemudahan, keselesaan, keselamatan dan kebajikan.

Penyediaan infrastruktur secara langsung meningkatkan akses penduduk luar bandar kepada perkhidmatan kerajaan, peluang pekerjaan, pemasaran hasil pertanian, pelancongan dan perniagaan.

Impak Terhadap Kesejahteraan Sosial

Analisis melalui Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) mengesahkan keberkesanan PPILB dalam meningkatkan kesejahteraan sosial penduduk luar bandar.

Indeks Komposit IKRM menunjukkan peningkatan berterusan:

  • 2021: 119.2 mata
  • 2022: 121.5 mata
  • 2023: 122.8 mata
  • 2024: 124.2 mata
  • 2025: 125.5 mata

Sasaran bagi tahun 2026 ialah 126.8 mata.

Temu bual bersama responden turut menzahirkan naratif “tenang, selesa, selamat dan bahagia”, yang mencerminkan pencapaian kesejahteraan subjektif (subjective well-being) yang mampan.

Inisiatif THINKTANK@KKDW: Memacu Kecemerlangan Strategik Luar Bandar

Teras dan Objektif Strategik

Pasukan Pemikir Strategik Dalaman

THINKTANK@KKDW merupakan pasukan pemikir strategik dalaman yang diurusetiakan oleh Bahagian INFRA bagi menjana idea bernilai tinggi serta penyelesaian inovatif dalam memperkasa pembangunan luar bandar.

Analisis Dasar Berasaskan Bukti

Inisiatif ini menghasilkan analisis dan cadangan penambahbaikan program secara berterusan berasaskan bukti serta data bagi menyokong proses membuat keputusan oleh Pengurusan Tertinggi kementerian.

Mengurangkan Kebergantungan kepada Perunding Luar

THINKTANK@KKDW turut memperkukuh kapasiti dan kepakaran dalaman kementerian supaya analisis, penyelidikan dan kajian strategik dapat dilaksanakan secara lebih cekap, mampan dan berdikari tanpa terlalu bergantung kepada perunding luar.

Kesimpulan

KKDW berjaya menterjemahkan matlamat Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 dan aspirasi Malaysia MADANI kepada hasil serta impak yang nyata sepanjang RMK-12.

Peningkatan konsisten petunjuk ekonomi makro dan IKRM menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi serta kesejahteraan sosial penduduk luar bandar.

Dari aspek pelaksanaan, pengukuhan Pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Pendekatan Keseluruhan Masyarakat menjadi tonggak penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta responsif terhadap keperluan penduduk luar bandar.

Dato’ Dr. Roslan Mahmood
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan)
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN