Sederap KKDW menjulang kecemerlangan

Sederap KKDW menjulang kecemerlangan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah meninjau proses pembelajaran Tabika KEMAS sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Antara KEMAS dan Yayasan Pahang bagi melaksanakan Program Pra-Tah z KEMAS di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS, Kampung Seri Batu, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setahun Yang Amat Berhormat Menteri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemudi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah memberi satu tanda aras kecemerlangan yang boleh dibanggakan. YAB Menteri juga telah memberi satu nafas dan hala tuju baharu dalam merencana pembangunan desa dan wilayah melalui pelbagai inisiatif mampan ke arah misi luar bandar sejahtera seiring Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) dan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (2021-2025).

Komitmen yang jitu yang dizahirkan melalui kepantasan bertindak, praktikal dan sebati daripada YAB Menteri dan sederap bersama anggota KKDW dalam menerajui pembangunan infrastruktur asas, sosioekonomi dan modal insan luar bandar menjelang 2025 sentiasa menjadi pegangan asas dan hala tuju beliau bersama KKDW.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah setahun dalam pemerintahan beliau pelbagai isu luar bandar berjaya disantuni dan KKDW kini berada di landasan yang betul.

Untuk rekod, berdasarkan Laporan Kemiskinan 2022, kadar kemiskinan di luar bandar menurun daripada 12.4 peratus pada tahun 2019 kepada 12 peratus pada tahun 2022. Ini adalah satu perkembangan yang baik memandangkan kadar kemiskinan nasional dan kadar kemiskinan bandar meningkat pada tahun 2022 berbanding tahun 2019.

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra bersama warga Gua Musang pada Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan di Gua Musang, Kelantan.

Bagi aliran migrasi luar bandar ke bandar pula, peratusannya juga menurun daripada 3.0 peratus kepada 2.4 peratus. Di samping itu, penurunan juga dapat dilihat bagi kadar pengangguran iaitu daripada 5.4 peratus kepada 4.7 peratus. Pencapaian ini menunjukkan satu indikator yang positif usaha membangunkan kawasan luar bandar.

Namun begitu, KKDW  terus mencari ruang penambahbaikan demi membolehkan masyarakat luar bandar memiliki akses kepada pendidikan berkualiti, peluang ekonomi dan infrastruktur terbaik selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs). Hal ini bagi mengimbangi pembangunan dan persekitaran yang mapan, inklusif dan holistik demi kelangsungan hidup sejahtera serta keseimbangan dalam pelbagai dimensi kehidupan selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

Dalam merencana pembangunan desa baharu, KKDW akan terus memastikan supaya pembangunan yang dibawa ke luar bandar dan wilayah membawa nilai inklusiviti dan kesaksamaan. Ini kerana masyarakat di luar bandar perlu diberi peluang yang adil dan saksama dalam menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dari segi infrastruktur yang disediakan dan yang lebih utama pembangunan sosioekonomi dan modal insan.

Dari segi modal insan, iltizam yang jitu oleh YAB Menteri dan sederap bersama KKDW sentiasa komited menyediakan ekosistem TVET yang kukuh sebagai teras utama kepada pembangunan sosioekonomi negara. Dua program TVET-Tahfiz dan TVET berimpak tinggi telah diperkenalkan.

KKDW sentiasa komited menyediakan ekosistem TVET yang kukuh
sebagai teras utama kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Melalui ekosistem TVET yang kukuh, ia akan meningkatkan lagi keberhasilan pendidikan kemahiran sebagai pemacu perubahan untuk melonjakkan modal insan berkemahiran tinggi dalam masyarakat.

Kesungguhan YAB Menteri dan KKDW dalam mentransformasikan TVET menjadi agenda penting dengan memperkukuh kerjasama dengan industri selain meningkatkan kualiti program. Selain itu, Program Latihan Khas untuk Pensyarah TVET merangkumi proses upskilling dan reskilling melalui pembelajaran dan pensijilan profesional turut diberi perhatian.

KKDW juga optimis melalui pelaksanaan program TVET-Tahfiz diyakini mampu melahirkan graduan berkemahiran yang kompeten dan celik al-Quran serta meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz dalam pelbagai bidang kemahiran. Selain TVET, KKDW melalui KEMAS telah memperkenalkan Program Pra-Tahfiz melalui pelaksanaan Modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI).

Inisiatif ini adalah salah satu usaha untuk membentuk modal insan yang bukan sahaja tinggi intelektual bahkan spiritual yang terdidik serta sahsiah yang terpuji. Kesemua inisiatif ini meningkatkan lagi keberhasilan pendidikan kemahiran sebagai pemacu perubahan untuk melonjakkan modal insan berkemahiran tinggi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Selain modal insan, haluan baharu KKDW di bawah YAB Menteri turut memberi fokus kepada pembangunan usahawan luar bandar dan memperkasa peranan dan fungsi agensi /anak syarikat. Bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti keusahawanan luar bandar,

Program Pendigitalan Usahawan (PPU) dan Program Pemasaran Digital (PMD) telah dilaksana di seluruh negara melalui kerjasama strategik bersama KUSKOP, KKD dan MDEC. Kerjasama strategik bersama syarikat-syarikat swasta dalam industri ekonomi digital juga telah dilaksanakan bagi memastikan pendigitalan usahawan adalah mengikuti trend perniagaan digital semasa.

Sinergi dan kolaborasi antara agensi-agensi kerajaan dan swasta juga diberi keutamaan agar dapat memberi manfaat yang lebih menyeluruh dalam usaha mendigitalkan perniagaan yang diusahakan oleh usahawan desa. Usaha ini diperhebatkan dan seterusnya mengangkat ekonomi penduduk luar bandar.

KKDW juga komited untuk memperkasakan agensi/anak syarikat di bawah KKDW melalui program pemukiman khas bagi menetapkan haluan baharu setiap agensi termasuk anak syarikat supaya menjadi agensi yang bukan hanya bersifat cost center tetapi menjadi agensi yang menjana pendapatan (profit center).

Oleh yang demikian, setiap agensi/anak syarikat berusaha pada tahap maksimum untuk mencapai potensi optimum dan tidak lagi terlalu bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

Sebagai Ketua Setiausaha Kementerian, saya amat berbangga kerana dapat berkhidmat dan sederap bersama YAB Menteri dalam merealisasikan semua usaha-usaha yang telah dirangka dan dilaksana demi mencorak perubahan di kawasan luar bandar bagi mencapai wawasan Luar Bandar Sejahtera.

Luar bandar sejahtera bukan sahaja memberi penekanan kepada kesejahteraan ekonomi, malah memberi penekanan kepada kemampanan persekitaran fizikal. Ia juga menitikberatkan kehidupan masyarakat yang sihat dan selamat serta mewujudkan keseimbangan antara aspek mengekalkan keindahan dan keaslian alam semula jadi serta biodiversiti.

Ia selari dengan hasrat dan harapan YAB Menteri yang menyasarkan pembangunan mampan luar bandar dan wilayah yang seimbang dan holistik mencakupi penempatan desa yang kondusif untuk didiami, mempunyai peluang pekerjaan, adanya pertumbuhan ekonomi, sahsiah dan pekerti yang mulia, serta menjadi satu tempat yang akan menjadi kebanggaan masyarakat.

Setahun bersama YAB Menteri, warga KKDW dan masyarakat serta komuniti luar bandar dan wilayah dapat merasakan gelombang perubahan dan pembangunan dapat dinikmati setiap kelompok masyarakat. Warga KKDW sentiasa diingatkan supaya cakna dengan senario dan isu dalam landskap semasa pembangunan luar bandar.

YAB Menteri dan sederap bersama KKDW sentiasa bergerak secara proaktif dan sentiasa memastikan tindakan serta inisiatif yang diambil selari dengan dasar sedia ada yang telah dirangka. Menjadi tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap anggota KKDW dalam merealisasikan hasrat penduduk luar bandar melalui Misi KKDW iaitu melengkapkan infrastruktur asas yang berkualiti dan mempertingkat kemampanan sosioekonomi masyarakat luar bandar berteraskan pembangunan yang inklusif dan holistik.

Semoga usaha murni ini memberi manfaat dan kesejahteraan kepada komuniti desa dan wilayah di samping memastikan supaya setiap lapisan masyarakat tidak ketinggalan di dalam menikmati hasil kemakmuran Negara.

TERIMA KASIH YAB MENTERI.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya