KKDW aris enam fokus utama untuk perubahan, pembangunan 15,000 kampung

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah garis enam fokus utama bangun 15,000 kampung

Ahmad Zahid Hamidi bersama peserta bengkel dan pengurusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada program pemukiman kementerian itu di Kuala Lumpur ,semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak enam fokus utama digariskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang berupaya menjadi game changer atau pengubah keadaan untuk pembangunan desa khususnya membabitkan 15,000 kampung di seluruh negara.

Enam fokus utama tersebut adalah Ekonomi dan Keusahawanan, Pengukuhan Tadbir Urus dan Kemampanan Agensi dan Anak Syarikat, Pendidikan, Infrastruktur dan Teknologi, Kepimpinan Desa dan Tatakelola dan Sistem Penyampaian.

Ahmad Zahid Hamidi ketika mengambil bahagian dalam Program Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru itu pihaknya melaksanakan pelbagai game changer untuk merintis perubahan impak sosial kumpulan sasar yang merangkumi warga luar bandar dan desa dan kumpulan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Beliau menjelaskan, antara game charger tersebut merangkumi aspek pembangunan keusahawanan dan ekonomi masyarakat desa untuk melahirkan lebih ramai usahawan mikro yang mampu menjana pendapatan antara RM300,000 hingga RM3 juta.

“Kami telah mengambil beberapa tindakan untuk melakukan game changer yang pelbagai terutamanya apabila Perdana Menteri meluluskan peruntukan tambahan di luar belanjawan sebanyak RM1 bilion yang meliputi kira-kira 15,000 kampung di seluruh negara untuk peningkatan program ekonomi.

“Perdana Menteri telah mengarahkan kami untuk membuat program ekonomi dan peruntukan akan diberikan antara RM50,000 hingga RM100,000 setiap kampung. Kami sedang melakukan pencernaan pelaksanaan supaya iaa tidak berlaku pertindihan dengan agensi lain dan ini kita akan selaraskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ramlan Harun.

Ahmad Zahid Hamidi (tengah), Rubiah Wang dan Ramlan Harun mendengar cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Program Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pendekatan pihaknya kali ini adalah untuk bekerjasama dengan semua kementerian dan agensi lain agar tidak lagi bergerak secara silo agar pelaksanaan pembangunan desa dapat dilakukan secara menyeluruh.

Beliau melihat pembangunan luar perlu menjadi keutamaan semua pihak agar masyarakat desa menerima limpahan pembangunan dan kemajuan dari segi infrastruktur dan pendidikan.

“Biarpun di luar bandar tetapi kita tahu bahawa kira-kira 8.05 juta penduduk Malaysia ini meliputi kira-kira 24.7 peratus daripada seluruh penduduk di negara kita.

“Namun kumpulan ini pihak yang harus diberikan keadilan untuk disantuni dengan program-program dan projek yang bersesuaian terutamanya dari segi infrastruktur, liputan telekomunikasi 5G dan juga dalam aspek pendidikan dan keusahawanan serta industri mikro kecil dan sederhana,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga mengambil beberapa keputusan untuk melibatkan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk dapat mengelakkan pertindihan di samping memberikan impak menyeluruh dari segi keberhasilan program.

“Umpamanya dalam keusahawanan, saya juga kebetulan adalah Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan, jadi dalam perkara ini Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjaga keusahawanan dan Kementerian Ekonomi juga ada program keusahawanan, Kementerian kewangan ada keusahawanan dan beberapa agensi lain ada program keusahawanan.

“Bagi mengelakkan pertindihan dan melakukan penjimatan terhadap perbelanjaan kerajaan, kami akan selaraskan program keusahawanan supaya tidak berlaku pertindihan dan tidak ada kekurangan dari segi pencapaian untuk matlamat kerajaan bagi mewujudkan ramai usahawan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya melihat jumlah usahawan mikro dalam kalangan warga luar bandar masih rendah dan penyertaan mereka perlu dipertingkatkan menerusi kerjasama dan inisiatif oleh pelbagai pihak.

Oleh itu, katanya bukan sahaja dari segi pelaksanaan program, maka ia perlu diselaras dengan semua pihak agar dapat dijayakan secara lebih efektif dan berkesan.

“Kita lihat dalam kalangan usahawan mikro di sana terdapat 84 peratus sebenarnya bukan usahawan mikro tetapi usahawan kumpulan yang paling rendah sekali. Transaksi urus niaga mereka setahun kira-kira RM65,000 ke bawah. Sembilan peratus usahawan nano dan hanya tujuh peratus sahaja usahawan mikro yang hasil jualannya antara RM300,000 hingga RM3 juta. 

“Jadi perkara begini harus diselaraskan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia, Baitulmal, Pusat Pengagihan Zakat dan sebagainya supaya kita lihat keberkesanannya. Jadi kementerian kita mengambil beberapa langkah proaktif,” katanya.

KHUSYUK… Sebahagian daripada peserta Program Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Walayah yang mengikuti program pemukiman di Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan, pihak kementerian akan melaksanakan pemukiman untuk menilai semula hasil pelaksanaan enam fokus utama pada Julai ini termasuk melihat kepada impak sosial kepada kumpulan sasaran yang merangkumi penduduk luar bandar, kawasan desa dan bumiputera keseluruhannya di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, sebanyak 62 cadangan telah dicapai menerusi tiga hari permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Kementerian buat kali kedua telah menganjurkan pemukiman dan kali ini adalah kesinambungan kepada pemukiman yang pernah diadakan pada tahun lalu. Kita merasakan tahun lalu kita telah berjaya melaksanakan 38 program utama yang meliputi isu-isu modal insan, ekonomi, infrastruktur, keusahawanan dan sistem pencapaian.

“Maka pada kali ini kami memberikan penilaian kepada bengkel tahun lalu di mana kita telah melihat pencapaian kepada 38 program utama kementerian yang meliputi soal modal insan, keusahawanan, infrastruktur, sistem pencapaian dan beberapa transformasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN