KKDW peruntuk RM14.1 bilion laksana 295 projek luar bandar di Sabah

KKDW peruntuk RM14.1 bilion laksana 295 projek luar bandar di Sabah

AHMAD Zahid Hamidi (dua kiri) melawat gerai pameran agensi di bawah KKDW sempena Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Prosedur yang tidak telus dalam pelaksanaan projek menyebabkan banyak projek-projek yang diluluskan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu masih belum dapat dilaksanakan.

Susulan itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengambil inisiatif untuk melakukan penyelarasan di peringkat kementerian dengan kerjasama exco-exco luar bandar untuk membolehkan pelaksanaan projek yang tertangguh dapat disegerakan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, disebabkan prosedur yang digunakan dulu tidak telus maka, langkah diambil di peringkat kementerian melalui ketua setiausaha kementerian untuk mengenal pasti kaedah yang boleh mempercepatkan pelaksanaan projek.

“Ini berlaku kerana prosedur-prosedur yang ada itu sangat ketat. Kita tidak mahu melanggar prosedur itu tetapi, dengan arahan Perdana Menteri untuk kita segerakan pelaksanaan projek maka, ada jalan-jalan tertentu yang harus digunakan..agar penyelarasan ini dilakukan dengan kerajaan negeri yang diwakili oleh exco-exco untuk kita beritahu kaedah pelaksanaannya.

“Apa yang kita telah kita capai (dalam mesyuarat) kali ini adalah untuk exco-exco luar bandar ini melakukan penyelarasan program-program yang kita telah persetujukan bersama sebelum ini untuk kita laksanakan pada tahun ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan menyeimbangkan pelaksanaan projek-projek fizikal yang ada untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk pelaksanaan dan ia mesti dipantau agar dapat disegerakan.

“Kita mesti mencari jalan untuk segerakan dengan tidak mengenepikan tatakelola yang ditentukan kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kementeriannya telah menerima peruntukan RM1.41 bilion bagi negeri Sabah untuk pelaksanaan 295 program atau projek yang terdiri daripada 70 projek baharu dan 225 lagi projek sambungan dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM17.8 bilion.

Daripada RM14.1 bilion itu, sejumlah RM1.06 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan 224 projek infrastruktur seperti jalan luar bandar, jambatan luar bandar, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar serta projek pemajuan kawasan bagi menyokong usaha kerajaan negeri untuk pembangunan negeri Sabah.

Jelas beliau, setiap exco yang hadir pada mesyuarat itu juga telah diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM750,000 bagi melaksanakan projek mengikut kumpulan sasar di negeri masing-masing iaitu projek infrastruktur dan projek komuniti.

Katanya lagi, di peringkat negeri Sabah juga, masih banyak projek yang telah diluluskan belum dilaksanaan termasuk projek bernilai RM50 juta ke bawah yang dikendalikan kerajaan negeri dan projek bernilai RM50 juta ke atas yang dikendalikan KKDW melalui agensi pelaksananya iaitu Jabatan Kerja Raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN