3 ikhtiar, 6 tekad perkasa Transformasi Ekonomi Bumiputera 

3 ikhtiar, 6 tekad perkasa Transformasi Ekonomi Bumiputera 

Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri Kabinet mendengar pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh ahli panel yang mengambil bahagian dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Transformasi Ekonomi Bumiputera (TEB) bakal menjadi naratif baharu bagi mengupayakan dan memperkasakan ekonomi bumiputera di negara ini sekali gus diangkat sebagai dasar baharu menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB).

KEB 2024 adalah kesinambungan beberapa siri KEB yang dianjurkan sejak kali pertama pada tahun 1965, disusuli KEB kedua pada 1968 yang telah menggariskan gagasan-gagasan besar haluan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, TEB akan dijadikan satu dasar besar demi merangsang pertumbuhan ekonomi bumiputera dan menarik pelaburan agar dapat membina landasan ekonomi kukuh untuk kemampanan jangka panjang. 

AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan ucaptama sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Dasar TEB ini tidak hanya memperkasakan ekonomi bumiputera, malah membina kemampanan bagi negara bangsa melalui tiga matlamat utama yang perlu dicapai iaitu Keadilan Sosio Ekonomi; Kemampanan Negara Bangsa serta Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketiga-tiga matlamat utama ini bagi memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak bumiputera tetapi memastikan wujudnya kesalingan atau sinergi dengan bukan bumiputera.

Di bawah matlamat pertama, TEB akan memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan, malah bertujuan memastikan bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang-peluang ekonomi dan teknologi baharu, di samping membesarkan kek ekonomi negara.

Sehubungan itu, bagi memastikan semua usaha pengupayaan bumiputera baik di peringkat kementerian, agensi, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilaksanakan dengan berkesan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) diusulkan supaya diperkasakan dengan tanggungjawab penyelarasan, pemantauan dan penilaian di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera. 

“Serentak itu juga, Unit Pemerkasaan Bumiputera di kementerian, agensi, GLC dan GLIC perlu diaktifkan semula agar penyelarasan, pemantauan dan penilaian dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya dalam ucaptama sempena KEB, di Putrajaya semalam.

Dalam perjalanan memperkasakan ekonomi bumiputera, kekuatan pokok yang membentuk asas kemampanan negara bangsa tidak boleh diabaikan, iaitu kekuatan dalam pemeliharaan kesatuan dan kesepaduan, kestabilan politik dan struktur sosial yang teguh.

Justeru, kata Ahmad Zahid, KEB 2024 mesti dijadikan medan untuk meningkatkan keupayaan ekonomi bumiputera agar lebih dinamik dan berani beradaptasi dengan  perubahan yang tidak menentu dalam pasaran kewangan, ketidak pastian global, konflik regional dan geopolitik, inflasi, pandemik dan lain-lain cabaran agar bumiputera mempunyai ketahanan serta kemampuan untuk terus bersaing.

KEB 2024 mesti mencari solusi untuk lebih ramai bumiputera berpartisipasi dalam kegiatan keusahawanan, berdikari dalam menjana pendapatan yang akhirnya membawa kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, TEB akan mendasari enam tekad pelaksanaanya iaitu mempertahankan agenda bumiputera, menutup ketirisan pelaksanaan dan mewujudkan kesetaraan antara wilayah, kaum dan kelompok. 

Selain itu ialah mengenal pasti peluang baharu, mewujudkan jalinan tulen dan menjamin tidak meminggirkan kaum lain.

Pada masa sama tiga ikhtiar pemerkasaan bumiputera digariskan untuk melonjakkan agenda  TEB menjelang usia satu abad negara merdeka antaranya mewujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera bagi mengekalkan pemilikan tanah bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

Ahmad Zahid berkata, perbadanan ini bertanggungjawab merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.  

“Penubuhan perbadanan ini adalah langkah proaktif bagi menjamin keseimbangan demografi kaum;  mewujudkan kelangsungan kawasan usaha bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu dan  usaha tambahan mengekalkan pemilikan bumiputera,” katanya.

Dua ikhtiar lain yang digariskan menerusi TEB ialah inisiatif wakaf kesihatan dan pendidikan serta mengindustrikan pertanian.

Mengulas mengenai ikhtiar mengindustrikan pertanian pula, Ahmad Zahid berkata, beliau mencadangkan penubuhan sebuah entiti bagi mendanai dan membangunkan tanah bumiputera atau tanah berkelompok milik bumiputera yang berpotensi diusahakan dengan tanaman makanan. 

 “Kita sedar sebahagian masyarakat bumiputera tidak mempunyai tanah yang begitu besar, keluasannya juga mungkin tidak ekonomikal di samping kekangan kewangan untuk mengusahakannya. 

“Namun, sekiranya tanah-tanah ini dapat disatukan dan dibangunkan secara skala besar, pastinya setiap pemilik tanah dapat memperoleh manfaat berterusan di samping membantu meningkatkan sosioekonomi setempat,” katanya.

Katanya, melalui ikhtiar ini, teknologi dan inovasi baharu boleh digunakan untuk meningkatkan hasil tanaman malah, ia dilakukan secara berstruktur bagi meningkatkan pengeluaran hasil.   

Mengulas mengenai usaha pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui TEB, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, segala inisiatif yang digariskan benar-benar menggali isu semasa kritikal yang dihadapi bumiputera terutama mengenai aspek tanah, kesihatan dan pendidikan, pertanian yang kurang berdaya saing. 

Mohammad Tawfik Yaakub

Katanya, semua pihak perlu mengakui keadaan ini secara terbuka dan tidak lagi boleh mengeluh serta mengakui kurangnya perhatian terhadap isu-isu ini sehingga bumiputera tertinggal di belakang berbanding kaum-kaum lain.

“Bumiputera tidak lagi boleh menuding jari atau meletakkan kesalahan atas bahu orang lain yang pandai mengambil kesempatan dan peluang untuk membangunkan diri serta kumpulan mereka. Kita perlu akui keadaan ini.

“Justeru saya teruja dan berbesar hati dengan cadangan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera yang boleh saya namakan sebagai ‘Penjaga Baru Tanah Bumiputera’ yang bukan sahaja menjaga tetapi berperanan meneroka peluang keuntungan hasil tanah dan mengaturkan semula demografi kedudukan bumiputera di kawasan  bandar dan lokasi kediaman strategik bernilai tinggi. 

“Di samping itu saya juga melihat bumiputera sedang bergelut dengan nilai kualiti kesihatan dan pendidikan yang sebelum ini tidak mencapai tahap kedudukan mereka sebagai bumiputera. 

“Justeru, dengan usaha mewujudkan kumpulan dana menerusi waqaf dan memperkasa institusi kesihatan serta pendidikan sedia ada dengan meningkatkan kebolehcapaian bumiputera untuk menerima perkhidmatan berprestij dan kualiti mampu mengangkat kualiti hidup yang lebih baik serta merta untuk bumiputera,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata, ketiga-tiga elemen ini iaitu tanah, kesihatan, pendidikan dan pertanian mampu mengangkat semula wajah penghormatan dan kedudukan bumiputera dalam tempoh terdekat. 

Hasil KEB sebelum ini seperti Mara dan seangakatannya, bumiputera diyakini mampu keluar dari kemelut sama yang berlarutan dan menangkis persepsi negatif yang menghambat kemajuan.

Menyentuh mengenai dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara dalam mewujudkan kesalingan dengan bukan bumiputera, Ketua Jabatan Ekonomi UM, Dr. Goh Lim Thye pula berkata, KEB boleh menjadi pusat landasan menggalakkan inklusi dan kesatuan ekonomi dalam kalangan demografi pelbagai etnik di Malaysia. 

Goh Lim Thye

Katanya, adalah sangat penting untuk memupuk pertumbuhan ekonomi inklusif untuk mengelakkan rasa terpinggir dalam kalangan kumpulan etnik yang berbeza memandangkan Koefisien Gini yang ketara dalam kalangan etnik iaitu 0.387 untuk bumiputera, 0.412 (Cina), dan 0.406 (India). 

Koefisien Gini ialah di mana 0 mewakili kesetaraan pendapatan yang lengkap dan 1 mewakili ketidaksetaraan pendapatan maksimum, menyerlahkan kepentingan usaha berterusan ke arah strategi pembangunan ekonomi yang komprehensif dan inklusif.

“Inisiatif ini penting untuk menangani perbezaan yang ditekankan untuk mengelakkan pemburukan ketegangan sosial yang timbul dari ketidaksetaraan ekonomi berpanjangan. 

“Ketegangan seperti itu berpotensi untuk menggugat kestabilan nasional dengan memupuk rasa tidak puas hati dan melemahkan kesatuan sosial,” katanya. 

Menerusi  Tinjauan Isi Rumah 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan trend ketidaksetaraan pendapatan dalam kalangan kumpulan etnik menggambarkan sedikit peningkatan dalam jurang pendapatan antara komuniti Cina dan bumiputera, dengan nisbah pendapatan berubah sedikit dari 1:0.72 pada tahun 2019 kepada 1:0.71 pada tahun 2022. 

“Begitu juga, jarak ekonomi antara komuniti Cina dan India menunjukkan kemajuan sederhana, menyesuaikan dari nisbah pendapatan 1:0.83 pada tahun 2019 kepada 1:0.85 pada tahun 2022. 

“Penemuan ini menekankan keperluan berterusan untuk usaha mengurangkan jurang ekonomi yang membezakan kumpulan-kumpulan ini,” katanya.

Lim Thye berkata, walaupun agenda KEB 2024 terarah untuk mengukuhkan ekonomi bumiputera, skopnya juga penting untuk menangani jurang pendapatan bandar-luar bandar, memastikan pembangunan ekonomi disebarkan secara adil di semua sektor masyarakat.

Pembahagian isi rumah mengikut etnik dan lokasi geografi lebih menekankan kepentingan strategi pembangunan ekonomi yang bersesuaian. Dengan jumlah isi rumah Cina (1,895,800) dan India (567,300) yang kebanyakannya terletak di kawasan bandar, berbanding dengan isi rumah bumiputera yang lebih seimbang antara bandar (3,677,800) dan luar bandar (1,575,300), terdapat peluang yang jelas untuk meningkatkan keadaan ekonomi di kawasan luar bandar. 

Jelasnya, meningkatkan peluang ekonomi luar bandar adalah penting bukan hanya untuk memperluas asas ekonomi tetapi memastikan usaha semua pihak bergerak ke arah landskap ekonomi lebih adil seluruh komuniti etnik pelbagai di Malaysia. 

Ahmed Razman Abdul Latiff

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, tekad dan ikhtiar yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri itu, dilihat sebagai satu kesinambungan daripada ekonomi Madani yang menekankan kepada keterlibatan semua, kemampanan segala inisiatif dan kemakmuran bumiputera di samping tidak melupakan kaum lain.

Ini bermakna kerajaan tidak akan mempunyai dua agenda ekonomi tetapi kedua-duanya adalah saling melengkapi.

Menyokong pendapat sama, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, langkah penting perlu memastikan tidak ada jurang luas sosio ekonomi antara kaum, wilayah dan kelompok kerana selagi itu kemajuan tidak dapat dicapai dan tidak mencerminkan negara dan wilayah maju.

 Justeru,  bekas Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, segala usaha terutama agihan kekayaan negara perlu dipastikan dapat dinikmati oleh wilayah, kelompok dan kaum minoriti terbabit.

JENIRI AMIR

Katanya, langkah itu perlu melalui peruntukan pembangunan seimbang dan saksama dan tumpuan khusus diberikan kepada wilayah dan kaum terpinggir khususnya di kawasan atau kaum minoriti terbiar.

Masalahnya masih ada kaum minoriti jumlah kecil di Sabah dan Sarawak masih berdepan masalah kerana tinggal di luar bandar dengan tidak ada akses kemudahan yang baik.

Program khusus perlu memberi kesan lebih efektif dalam kita mahu menuju ke arah negara maju, makmur dengan memastikan golongan minoriti di Sabah Sarawak tidak terpinggir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN