Seni tembaga Terengganu di ambang kepupusan

Seni tembaga Terengganu di ambang kepupusan

SENI pertukangan mungkin ditelan zaman sekiranya tiada pelapis untuk meneruskan warisan tersebut.- MINGGUAN/PUTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seni pertukangan tembaga yang pernah menjadi kebanggaan Terengganu kini berdepan cabaran getir untuk terus bertahan. 

Bunyi dentingan tukul yang pernah rancak bergema di bengkel-bengkel tradisional semakin jarang kedengaran apabila jumlah tukang tembaga kian berkurangan dan generasi muda kurang berminat mewarisi kemahiran tersebut.

Suatu ketika dahulu, perusahaan tembaga menjadi antara nadi ekonomi masyarakat setempat dan lambang kehalusan seni warisan negeri ini. Namun perubahan zaman, persaingan produk moden dan kekurangan pelapis menyebabkan industri yang berusia ratusan tahun itu semakin terpinggir.

Kini hanya segelintir pengusaha yang masih setia meneruskan tradisi tersebut, berjuang mempertahan warisan berharga yang diwarisi turun-temurun. Persoalannya, mampukah seni pertukangan tembaga terus dipulihara atau bakal lenyap ditelan zaman apabila semakin ramai penggiatnya meninggalkan bidang berkenaan tanpa pewaris?

KEGEMILANGAN YANG KIAN PUDAR

Perusahaan tembaga berkembang pesat dan menjadi antara nadi ekonomi kraf Terengganu. Malah sekitar 1960-an, lebih 100 pengusaha aktif menghasilkan pelbagai produk tembaga untuk kegunaan harian masyarakat.

Ketika itu, periuk, kuali, dulang, tepak sireh, acuan bahulu dan pelbagai lagi barangan menjadi antara produk yang sentiasa mendapat permintaan. Barangan tembaga bukan sahaja digunakan dalam kehidupan seharian, malah melambangkan status, nilai seni dan budaya masyarakat Melayu.

Bagi Adiguru Tembaga, Salleh Mohd., 81, atau lebih dikenali sebagai Pok Leh, industri tersebut pernah menjadi sumber pendapatan utama kepada ramai penduduk setempat yang menjadi tukang atau ‘pandai tembaga’. 

“Dulu ramai pengusaha tembaga di Terengganu. Industri ini sangat meriah dan menjadi antara sumber pendapatan masyarakat. Produk seperti periuk, kuali, tepak sireh dan acuan bahulu sentiasa mendapat tempahan daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Selain memenuhi pasaran tempatan, produk tembaga Terengganu turut mendapat permintaan dari luar negeri kerana keunikan reka bentuk dan ketahanannya.

POK LEH ANAK TUKANG TEMBAGA 

Bagi Pok Leh, dunia tembaga bukan sesuatu yang asing. Sejak kecil, beliau sudah biasa mendengar bunyi ketukan tukul yang bergema di bengkel milik bapanya. 

Ketika rakan-rakan seusia menghabiskan masa bermain, beliau pula menghabiskan masa selepas waktu persekolahan membantu bapanya menghasilkan pelbagai produk tembaga.

“Sejak kecil saya sudah biasa dengan bunyi ketukan tukul dan melihat ayah membentuk tembaga menjadi pelbagai produk. Selepas balik sekolah, saya terus ke bengkel. Pada mulanya saya hanya membantu kerja-kerja ringan sebelum belajar sedikit demi sedikit teknik menghasilkan barangan tembaga,” katanya.

Minat yang dipupuk sejak kecil akhirnya berkembang menjadi kemahiran yang diwarisi sehingga ke hari ini. Meneruskan legasi peninggalan bapanya yang diasaskan sekitar tahun 1920, Pok Leh kini menjadi generasi kedua yang meneruskan perusahaan tembaga keluarga.

Bengkelnya di Pulau Kerengga di sini menjadi saksi perjalanan perusahaan tembaga yang pernah menjadi kebanggaan negeri. Pengiktirafan sebagai Adiguru Tembaga pada 1990 menjadi bukti kepakaran serta sumbangan besarnya dalam memartabatkan seni kraf warisan tersebut.

Bagi Pok Leh, perusahaan tembaga bukan sekadar pekerjaan mencari rezeki. Sebaliknya, ia adalah amanah keluarga yang perlu dipikul agar warisan itu tidak terhenti di tengah jalan.

Daripada sembilan adik-beradiknya, lima daripada pernah mempelajari kemahiran menghasilkan tembaga daripada arwah bapanya. Namun, hanya beliau yang terus setia meneruskan perusahaan tersebut sehingga hari ini.

“Ramai yang belajar tetapi apabila meningkat dewasa masing-masing memilih haluan sendiri.

“Alhamdulillah, saya masih diberi kesihatan untuk meneruskan perusahaan ini walaupun usia sudah mencecah 81 tahun,” katanya.

TINGGAL TUJUH PEJUANG WARISAN

Perubahan gaya hidup masya­rakat menjadi antara faktor utama kemerosotan industri tembaga, apatah lagi kemunculan pelbagai produk moden yang lebih murah dan mudah diperoleh menyebabkan permintaan terhadap produk tembaga semakin berkurangan.

Masyarakat kini lebih memilih peralatan berasaskan aluminium, plastik atau keluli tahan karat yang dianggap lebih praktikal. Perubahan itu sedikit demi sedikit menghakis kedudukan produk tembaga dalam kehidupan harian masyarakat.

Jika suatu ketika dahulu terdapat lebih 100 pengusaha tembaga di Terengganu, kini hanya tinggal tujuh orang yang masih aktif menghasilkan produk secara tradisional.

“Kalau dibandingkan dengan dahulu, jumlahnya memang jauh berkurangan. Sekarang ini tinggal beberapa orang sahaja yang masih mengusahakan tembaga secara tradisional,” kata Pok Leh.

Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Mohd. Azrul Hussien berkata, seramai 14 pengusaha tembaga berdaftar dengan Kraftangan Malaysia di negeri ini, namun hanya tujuh yang benar-benar aktif sepenuh masa.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan industri tersebut terus bertahan.

Antaranya menyediakan platform promosi dan pemasaran, kemudahan pemasaran digital menerusi MyCraftShoppe, bantuan bahan mentah, pembangunan rekaan produk baharu, kursus keusahawanan, program pewaris kepada adiguru kraf, program pembangunan perantisan kemahiran, bantuan mesin dan peralatan serta penyediaan ruang bengkel.

“Kraftangan Malaysia sentiasa berusaha membantu pengusaha supaya industri warisan ini terus kekal relevan dan mampu menarik minat generasi baharu,” katanya.

HARGA TEMBAGA MENTAH MELAMBUNG

Selain kekurangan pengusaha, peningkatan harga bahan mentah turut memberi tekanan besar kepada industri. Harga tembaga yang suatu ketika dahulu hanya sekitar 70 sen sekilogram (kg) kini meningkat kepada kira-kira RM35 kg.

Kenaikan itu menyebabkan kos pengeluaran semakin tinggi dan margin keuntungan semakin mengecil.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, tujuh pejuang warisan berkenaan percaya kualiti hasil kerja tangan yang dihasilkan secara tradisional tetap mempunyai nilai tersendiri yang sukar ditandingi produk moden.

PELAPIS MAKIN BERKURANGAN

Cabaran terbesar yang dihadapi industri tembaga ketika ini bukan sekadar soal kos atau pasaran. Sebaliknya, isu kekurangan pelapis menjadi kebimbangan utama pengusaha.

Tidak ramai anak muda yang sanggup mendalami bidang tersebut kerana proses pembelajarannya memerlukan kesabaran, ketelitian dan masa yang panjang.

Di sebalik kebimbangan itu, masih ada sinar harapan menerusi kehadiran pelapis muda seperti Shaiful Sani Zakaria, 42. Minatnya terhadap seni pembuatan tembaga bermula sejak kecil apabila melihat pelbagai peralatan tembaga milik datuk dan neneknya.

Kagum dengan keindahan serta kilauan tembaga, dia mengambil keputusan mengikuti kursus jangka pendek di Kraftangan Malaysia selepas tamat persekolahan.

 

Selepas itu, Shaiful Sani berguru dengan beberapa tukang tembaga veteran bagi memperkukuh kemahirannya.

“Selepas tamat kursus, saya meneruskan menuntut ilmu dengan tukang tembaga veteran ketika itu. Sekarang mereka sudah tiada,” katanya.

Kini, dia yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Tembaga Terengganu turut berperanan sebagai mentor kepada pelapis baharu.

Menurutnya, tempahan terhadap produk tembaga masih diterima khususnya bagi tujuan cenderamata, hiasan dan adat istiadat Melayu.

Namun cabaran mendapatkan bahan mentah dan tenaga mahir terus menjadi halangan utama kepada kelangsungan industri tersebut. 

Dia berharap lebih ramai generasi muda tampil mempelajari seni berkenaan agar warisan itu tidak terkubur ditelan zaman.

“Seni pembuatan tembaga perlu terus dipulihara kerana ia adalah sebahagian daripada identiti budaya Terengganu.

“Warisan ini tidak boleh dibiarkan hilang begitu sahaja. Kalau tiada orang yang mahu meneruskannya, satu hari nanti mungkin hanya dapat melihat produk tembaga di muzium,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN