KUALA LUMPUR: Seorang bekas guru sekolah memandu, kekal menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dikenakan dua sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar wanita berusia 17 tahun ketika sesi pembelajaran, lima tahun lalu.
Perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas menolak rayuan Rosli Saidon, 42, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Sepang yang mendapatinya bersalah melakukan perbuatan tersebut ketika mengendalikan kelas memandu yang dihadiri oleh mangsa.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin turut mengekalkan perintah hakim bicara agar perayu menjalani kaunseling pemulihan dalam tempoh penahanan serta tiga tahun pengawasan polis sebaik selesai menjalani hukuman.
Rosli bagaimanapun mengemukakan rayuan akhir di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.
Hakim Aslam berpuas hati, hakim bicara tidak tersalah arah daripada segi fakta dan undang-undang ketika mencapai dapatannya dan mensabitkan Rosli terhadap pertuduhan.
Mahkamah turut berpendapat, hakim bicara betul ketika menerima keterangan mangsa meskipun keterangannya tidak disokong oleh rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Beliau bersetuju dengan dapatan hakim bicara bahawa keterangan sokongan menerusi rakaman CCTV hanya wajar dikemukakan jika terdapat percanggahan material ketika membuktikan identiti tertud
“Dalam kes ini, keterangan saksi-saksi pendakwaan mencukupi untuk membuktikan perlakuan perayu,” ujarnya dalam penghakiman bertulis bertarikh 28 Ogos lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Bapa dua anak itu didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara menyentuh punggung, tangan dan paha kira-kira pukul 3 petang, 25 Februari 2019 di sebuah sekolah memandu di Banting, Selangor.
Pemandu lori itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Naratif pendakwaan menyatakan, Rosli dengan sengaja menyentuh punggung, tangan dan paha pelajarnya ketika mengendalikan kelas memandu di sekolah itu serta berlarutan hingga sesi ujian di jalan raya.
Dalam keterangannya, mangsa memberitahu, Rosli memegang tangan dengan alasan untuk membetulkan stereng serta meraba punggung kanannya dari arah belakang ketika mangsa dalam posisi menunduk untuk membuka bonet kereta.
Gadis itu turut menyatakan, guru sekolah memandu itu malah memegang pahanya sambil berkata paha mangsa sama saiz dengan pahanya selain mengugut untuk mengigit leher mangsa ketika dalam kereta dengan mendakwa gadis itu memandu bengkang bengkok seperti ular.
Mahkamah Sesyen berpendapat, perlakuan tertuduh tidak berpaksikan kepada sebarang justifikasi atau asas yang munasabah, selain hanya untuk tujuan seksual kerana ia dilakukan tanpa kehadiran orang lain.
Hakim bicara berpuas hati, perbuatannya tiada sebarang kaitan dengan kaedah pembelajaran memandu kereta melainkan untuk tujuan seksual, manakala mangsa yang memberi keterangan berusia melebihi 18 tahun merupakan saksi yang kredibel dan keterangannya meyakinkan, konsisten serta bukan direka-reka.
Ujar hakim, meskipun keterangan gadis itu tidak perlu disokong oleh saksi lain, namun keterangan ibunya konsisten dengan mangsa yang dilihat mengalami trauma, tidak boleh tidur, muntah, takut bersendirian serta terbayang wajah tertuduh ketika melihat muka orang lain. – UTUSAN










