PETALING JAYA: Polis masih menyiasat kehilangan bekas jururawat, Che Nurul Izzah Che Salim, 36, selepas dipercayai keluar daripada rumahnya di Jalan Kesum 24/37 Seksyen 24, Shah Alam pada 16 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, setakat ini polis mengambil keterangan kakaknya yang memaklumkan dia sudah lama tidak berjumpa dengan Che Nurul Izzah.
“ Berdasarkan keterangan ahli keluarga, Che Nurul Izzah keluar dari rumah bersama anak-anaknya pada 16 Februari lalu dan mendapati dia sudah berhenti kerja pada 29 Ogos, baru-baru ini.
“Bagaimanapun PDRM tidak boleh dedahkan proses siasatan kepada umum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan seorang bekas jururawat yang dilaporkan hilang oleh keluarganya.
Shahrulnizam berkata, laporan itu dibuat jam 9.27 malam kelmarin di Balai Polis Damansara.
“Wanita ini sudah bercerai serta mempunyai dua anak lelaki dan perempuan masing-masing berusia 11 tahun dan sembilan tahun.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan wanita itu boleh menghubungi Inspektor Hafizzul Mohd Noor di talian 016-2236804 atau 03-77222222 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN









