BESUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan bergantung sepenuhnya pada mesin oksigen untuk terus bernafas, selepas disahkan menghidap lima penyakit kronik sejak dilahirkan.
Nik Mohammad Nasrulhaq Nik Mohd. Zakwan bukan sahaja menghidap sindrom Down, malah mengalami masalah paru-paru kronik, peti suara, jantung berlubang dan gangguan pendengaran pada telinga kanan.
Ibunya, Suhana Rajab, 41, berkata, anak bongsu daripada lapan beradik itu dilahirkan pramatang ketika usia kandungan 37 minggu sebelum mengalami komplikasi kesihatan serius.
“Ketika dalam kandungan berusia tujuh bulan, doktor mengesan tiga lubang pada jantungnya dan satu daripadanya berjaya ditutup menerusi pembedahan. Bagaimanapun, penyakit lain dikesan selepas dia dilahirkan.
“Sejak lahir, dia terus menggunakan mesin oksigen kerana tahap oksigennya sangat rendah. Mulut dan badannya juga kerap bertukar biru apabila sukar bernafas,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Lilit di sini.
Menurut Suhana, sejak Nik Mohammad Nasrulhaq dilahirkan, hospital ibarat rumah kedua mereka kerana kerap dimasukkan ke wad untuk rawatan.
Katanya, anaknya pernah menerima rawatan selama enam bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan dan keadaan kesihatannya semakin merosot sejak Mac lalu apabila paru-parunya semakin mengecut.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan Nik Mohammad Nasrulhaq kerap mengalami sesak nafas akibat kekurangan oksigen.
“Jika dua hari kekurangan oksigen, kami perlu segera membawanya ke hospital semula. Dia juga tidak boleh minum susu menggunakan botol biasa, perlu menggunakan tiub selain diberi susu khas setiap tiga jam,” katanya.
Suhana berkata, kos rawatan dan penjagaan Nik Mohammad Nasrulhaq mencecah kira-kira RM3,000 sebulan termasuk ubat-ubatan dan susu khas. – UTUSAN











