PM guna pentas dunia promosi sawit

PM guna pentas dunia promosi sawit

ANWAR Ibrahim menurunkan tandatangan pada poster yang tertera gambar beliau milik seorang pelajar sekolah yang hadir pada Majlis Santunan Budi, Tautan Kasih Felda Madani di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah, hari ini. - FOTO/FACEBOOK PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan pertemuannya dengan pemimpin dunia sebagai platform untuk mempromosikan sawit negara walaupun berhadapan diskriminasi oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap produk tersebut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang berusaha bertungkus-lumus untuk meningkatkan eksport sawit yang banyak terhasil dari ladang Felda sekali gus meningkatkan pendapatan peneroka.

“Kerana itu, saya gunakan setiap ruang ketika bertemu pemimpin dunia seperti China, India dan Rusia untuk meningkatkan pembelian sawit Malaysia dan Alhamdulillah, mereka menyatakan persetujuan hasil hubungan persahabatan yang akrab,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anwar berkunjung ke Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah dalam Majlis Santunan Budi, Tautan Kasih Felda Madani, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau teruja melihat keindahan Felda Sahabat yang bersebelahan kawasan pantai sambil berterima kasih terhadap sambutan luar biasa daripada warga Felda keseluruhannya.

Beliau juga, menzahirkan penghargaan kepada warga Felda Sahabat yang telah bersama-sama dengan badan penguatkuasa sebagai barisan hadapan dalam usaha menentang pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

“Namun keindahan ini tidak datang bergolek, sebaliknya terhasil daripada jasa Almarhum Tun Abdul Razak yang mencetus idea membantu rakyat miskin menerusi program raksasa, dan kemudian disahut ibu-ibu dan bapa-bapa peneroka awal yang berkorban meneroka hutan belantara hingga wujudnya 317 rancangan Felda hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, beliau juga mengambil maklum masalah air dan elektrik yang masih membelenggu beberapa kawasan dan memerlukan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya isu ini boleh diselesaikan dengan kerjasama baik daripada kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini