Penggunaan plastik meningkat selepas Covid-19

Penggunaan plastik meningkat selepas Covid-19

MOHD. YUSAIMI MD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan plastik dalam kalangan rakyat meningkat ketika pasca-Co­vid-19 apabila orang ramai lebih cenderung menempah makanan menerusi platform penghantaran ke rumah.

Malah kebanyakkan restoran dan kedai makanan memilih untuk menghidangkan makanan dan minuman dengan bekas plastik kerana kekurangan pekerja sekali gus menyebabkan penggunaannya lebih tinggi berbanding empat tahun lalu.

Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia), Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, perkara itu mendorong lambakan pembuangan bekas plastik sekali gus menyebabkan punca peningkatan mikroplastik sama ada di laut dan darat.

MENGEJUTKAN

Katanya, lebih mengejutkan masih terdapat peniaga sengaja menggunakan polisterin untuk penghantaran makanan ke rumah tanpa disedari oleh pihak berkuasa.

“Ada negeri dan pihak berkuasa tempatan melarang penggunaan plastik dan polisterin, tetapi bagaimana pula penghantaran ke rumah menerusi platform e-hailing? Adakah perkara ini diketahui pihak berkuasa?

“Jadi pasca Covid-19 me­ngubah segalanya. Orang ramai pula pilih tapau atau bawa pulang makanan ke rumah, manakala bekas digunakan adalah plastik. Berbanding sebelum ini, mereka lebih gemar makanan di restoran atau kedai rumah, maka penggunaan tidaklah terlalu banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, penyedia per­khidmatan tenaga dari United Kingdom (UK), Utility Bidder mendedahkan Malaysia mencemari lautan dengan 2.29 kilogram plastik perkapita setiap tahun, sekali gus meletakkan negara ini kelima tertinggi di dunia yang terbabit menyebabkan pencemaran laut.

KEMPEN

Dalam pada itu, Mohd. Yusaimi berkata, kelemahan penguatkuasaan dan pelaksanaan kempen bebas plastik membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk menggunakan bahan itu dalam kehidupan seharian.

Katanya, malah rakyat kini dilihat sudah lupa dengan kempen bebas plastik yang sebelum ini menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Segalanya bermula daripada peringkat bawahan. Jika tiada masyarakat mahu guna plastik, maka tiada ruang untuk pihak untuk mengeluarkan plastik lebih banyak,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cukai plastik, Mohd. Yusaimi berkata, pihaknya bimbang jika peniaga mengambil kesempatan untuk menyerapkan kos itu dalam harga pengguna sekali gus menyebabkan kenaikan harga barangan berganda.

Beliau melihat kempen bebas plastik perlu diperluaskan bukan sahaja mengenakan caj untuk penggunaan plastik, tetapi memberi inisiatif seperti pemberian baucar jika mereka membawa beg sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×