NAHRIM jalankan penyelidikan pencemaran mikroplastik di empat lembangan sungai

NAHRIM jalankan penyelidikan pencemaran mikroplastik di empat lembangan sungai

Fadillah Yusof melawat ruang pameran selepas melancarkan Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama 2024 Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang giat menjalankan penyelidikan berkaitan impak kehadiran bahan cemar baharu melibatkan bahan pengganggu endokrin (EDCs), kerintangan antimikrob (AMR) serta mikroplastik terhadap kualiti air.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penyelidikan tersebut dijalankan di empat lembangan sungai di negara ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Seminar yang diadakan oleh NAHRIM ini melibatkan penglibatan pemain industri, kementerian dan agensi untuk kita melihat dan berkongsi pengalaman daripada pakar-pakar, dan diharap dengan adanya program ini kita dapat mengetahui kedudukan Malaysia dengan penyelidikan yang sedang dibuat di empat lembangan sungai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia untuk kita lihat apakah dasar pada masa depan yang boleh dikemukakan untuk menangani cabaran-cabaran baharu dalam konteks (pencemaran) mikroplastik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama di sini hari ini.

Seramai 120 peserta dari pelbagai kementerian, jabatan persekutuan dan negeri, institusi pengajian tinggi serta industri tempatan dan antarabangsa dari Korea, Jepun, India dan Singapura menyertai seminar anjuran NAHRIM dengan kerjasama Frontier Laboratory Ltd., Japan dan Persatuan Penyelidikan Air Malaysia.

Menurut Fadillah, penglibatan pelbagai sektor di dalam seminar itu merupakan kunci dalam menangani isu pencemaran air secara holistik dan berkesan, memastikan perlindungan sumber daya air yang penting untuk kehidupan manusia dan alam sekitar secara keseluruhan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pengumpulan data-data asas adalah amat penting bagi membolehkan kerajaan menetapkan dasar dan polisi baharu dengan lebih berkesan dan bersifat pencegahan.

“Hasil penyelidikan ini diharap dapat digunakan oleh semua pemegang taruh yang berkaitan untuk mempertingkatkan kualiti air di Malaysia. Ini bermaksud, proses rawatan air minuman mungkin perlu diberi perhatian atau pendekatan baharu bagi menjamin kualiti air yang terbaik diterima oleh rakyat,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menekankan berhubung kepentingan program advokasi untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat, selain bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar dan sungai.

Sementara itu, Ketua Pengarah NAHRIM, Ir. Mohd Zaki Mat Amin berkata, penyelidikan yang dijalankan itu meliputi kerja-kerja persampelan, pengumpulan data-data lapangan dan analisis makmal di lembangan sungai terpilih iaitu Lembangan Sungai Langat, Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Sarawak.

Jelasnya, hasil penyelidikan mendapati, purata kelimpahan mikroplastik di empat lembangan sungai tersebut adalah di antara 179.6 partikel per liter sehingga 4541.4 partikel per liter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini