PETALING JAYA: Seramai 500 penduduk dan kakitangan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) terlibat dalam Karnival Kampung Angkat Madani baru-baru ini.
Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Ir. Mohd. Zaki Mat Amin berkata, penganjuran majlis di Terengganu itu dilihat sebagai penghubung agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dengan masyarakat kampung bagi memastikan aspek pembangunan lebih bersasar, holistik dan berteraskan kesejahteraan rakyat dapat dicapai.
Selain itu katanya, program itu juga secara tidak langsung dapat memperkukuh hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan komuniti akar umbi
“Alhamdulilah sambutan sangat menggalakkan. Kita dapat membawa aspirasi kerajaan
“Kemajuan sesebuah negara bukan sahaja diukur daripada angka ekonomi semata-mata tetapi juga melalui keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis perasmian karnival tersebut diadakan di Kampung Bukit dan Kampung Tayor Tengah, Ulu Nerus, Setiu, Terengganu.
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan NAHRIM di bawah program ini termasuklah menaik taraf dan baik pulih infrastruktur awam, jalan desa, kemudahan sukan, masjid, surau, tanah perkuburan serta membangunkan sistem bekalan air alternatif di kawasan kampung.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan dalam program berkenaan antaranya pameran penyelidikan dan produk air NAHRIM, sukan rakyat, sukaneka, gerai jualan desa dan cabutan bertuah.
Dalam pada itu, Mohd. Zaki berkata, beberapa inisiatif juga sedang dilaksanakan melalui kerjasama dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah di bawah program Sekolah Angkat Madani.
“Pihak kami mahu menaik taraf Sekolah Kebangsaan Durian Burung. Ia adalah manifestasi komitmen bersama untuk memperkukuhkan jaringan sokongan kepada sekolah melalui pendekatan kerjasama pelbagai pihak sama ada daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi, badan bukan kerajaan atau pihak swasta,” jelasnya.
Pelaksanaan projek Sekolah Angkat Madani NAHRIM ini turut dilaksanakan dengan sokongan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu. – UTUSAN








