KUALA LUMPUR: Ramai peminat dan rakan artis mendoakan agar rumah tangga pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin utuh dan berkekalan.
Harapan itu turut disuarakan pelakon dan pengacara popular, Serina Redzuawan, yang meminta Fattah, selaku ketua keluarga, menyelamatkan perkahwinannya.
“Happy birthday adikku Fattah Amin. Tolong selamatkan rumah tangga anda dengan Fazura, adik. Minta petunjuk Allah.
“Sedih tengok Fatima kecil dan memerlukan anda berdua.
“Ujian rumah tangga pasti ada. Dilanda badai itu, adat. Anda sebagai kapten kapal, perbaiki semula.
“Semoga perkahwinan suci dapat diselamatkan,” tulisnya di ruangan komen pada video ucapan hari jadi yang dimuat naik Fattah di Instagramnya (IG).
Menerusi video itu, anak pasangan berkenaan, Fatima tampil menyampaikan ucapan hari lahir buat bapanya sambil dirakam Fazura.
Desas desus konflik rumah tangga pasangan itu ternyata benar apabila Fazura dua hari lepas memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini.
Fazura tidak hadir ke mahkamah, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peguam yang dilantiknya.
Sementara itu, peminat terus berspekulasi apabila Fattah, semalam menyambut hari kelahirannya yang ke-34, turut menunjukkan kek hari jadinya yang dihiasi patung seorang bapa dan anak perempuannya.
“Kek itu sudah triggered, daddy duduk dengan Fatima, tanpa Mommy.
“Semoga hubungan kamu berdua kembali terjalin,” tulis netizen.
Fazura dan Fattah sah bergelar suami isteri pada November 2017. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya.











