Pemandu lori didakwa atas 2 tuduhan amang seksual fizikal anak kandung bawah umur

Pemandu lori didakwa atas 2 tuduhan amang seksual fizikal anak kandung bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori syarikat pengeluar produk roti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung perempuannya yang masih di bawah umur.

Lelaki berusia 41 tahun itu meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun kira-kira pukul 7.30 pagi, pertengahan Oktober 2023 di rumah mereka di Semenyih, Selangor.

Lelaki itu turut didakwa atas pertuduhan kedua melakukan perbuatan tersebut terhadap anak perempuannya yang ketika itu berusia 13 tahun kira-kira pukul 11.45 malam, 21 Ogos lalu di tempat yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Norshila tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memerintahkan agar tahanan reman dilanjutkan. Mahkamah menetapkan 13 November ini bagi tarikh sebutan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kedua-dua pertuduhan itu serius.

Norhashimah berkata, pemandu lori itu merupakan bapa kandung mangsa dan keluarga berkenaan menetap di alamat yang sama manakala ibu kanak-kanak tersebut masih isteri tertuduh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN