Pelajar sekolah menengah sanggup bayar ansuran beli vape

Pelajar sekolah menengah sanggup bayar ansuran beli vape

Harga vape pakai buang yang murah dan boleh dibayar secara ansuran kini menjadi pilihan dalam kalangan pelajar sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sikap ingin mencuba dan pengaruh rakan sebaya serta tawaran membayar secara ansuran mendorong pelajar sekolah menengah untuk membeli rokok elektronik atau vape.

Bayaran sebanyak RM1 sehari yang ditawarkan oleh orang tengah membuatkan para pelajar menjadi ‘mabuk’ untuk memiliki peralatan elektronik itu, terutamanya jenis pakai buang atau ‘Disposable Pod’

Seorang pelajar yang ingin dikenali sebagai Zul, 16, mengakui bayaran ansuran itu menarik perhatian untuk memilikinya.

Menurutnya, harga rokok elektronik pakai buang itu dijual bermula RM12 dan ke atas bergantung kepada jumlah sedutan.

“Setiap hari saya akan menyimpan RM1 daripada wang saku bagi membuat bayaran rokok elektronik tersebut. Cara ini sama sekali tidak membebankan saya untuk membuat bayaran.

“Saya mula terjebak dengan vape ketika berusia 14 tahun selepas diberikan oleh rakan untuk mencuba,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zul memberitahu, pilihan perisa yang pelbagai dan banyak membuatkan para pelajar tertarik untuk menghisap rokok elektronik.

Katanya, bentuk vape yang lebih kecil dan seakan-akan alat pemacu serta pen memudahkan ia disimpan sekali gus mengelakkan dikesan oleh ibu bapa.

“Rokok elektronik jenis pakai buang ini menawarkan tiga pilihan iaitu 1,000 (sedutan), 3,000 dan 5,000,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, separuh daripada 15,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di lima negeri termasuk 2,000 perempuan dikesan ketagih vape.

Tinjauan selama tiga tahun dari 2021 oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terhadap 15,000 pelajar sekolah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati 8,000 daripada mereka menghisap vape.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar yang mahu dikenali sebagai Lie, 17, pula, berkata, dia sanggup ikat perut semata-mata mahu membeli rokok elektronik menggunakan wang saku yang diberikan oleh ibu bapa.

“Asalnya saya belajar merokok dengan jenama yang terkenal disebabkan kawan-kawan beritahu rasanya sedap selain nampak bergaya. Namun disebabkan harganya yang mencecah belasan ringgit sekotak saya beralih kepada rokok elektronik.

“Memang betul, rasa rokok elektronik lebih sedap kerana banyak pilihan perisa. Apa yang penting, bentuknya seolah-olah pemacu pena berjaya mengaburi mata ibu bapa saya,” katanya.

Ujarnya, dia mula beralih kepada rokok elektronik sejak setahun lalu dan kini menjadi perokok tegar walaupun masih muda.

Sementara itu, seorang pelajar perempuan yang mahu dikenali sebagai Lia, 16, berkata, dia mula mengenali rokok elektronik selepas terpengaruh dengan rakan-rakan membeli alat elektronik itu secara ansuran.

“Mula-mula saya sekadar mencuba secara suka-suka, lama-lama ketagih. Bagi meredakan ketagihan saya membeli alat tersebut secara ansuran guna duit belanja sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN