Pas sifatkan pihak pertikai isu halal sebagai ‘suara sumbang’ dalam masyarakat

Pas sifatkan pihak pertikai isu halal sebagai ‘suara sumbang’ dalam masyarakat

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pas menganggap tindakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mempersoalkan tentang pemilikan sijil halal bagi restoran dan syarikat makanan sebagai ‘suara sumbang’ yang terlampau menyentuh sensitiviti orang Islam di negara ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini, isu perkauman seumpama itu tidak harus dibangkitkan.

“Apabila saya sebut masyarakat kita, ia bukan hanya kepada orang Melayu Islam sahaja, semua bangsa yang tinggal di sini perlu jaga, jangan bangkit perkara ini.

“Sebab yang pertama undang-undang negara kita tidak pernah menghalang orang bukan Islam makan khinzir. Dia boleh makan cuma ada peraturan-peraturan seperti jangan makan terbuka.

“Minum arak juga dibenarkan, jadi pasal apa mahu campur hal orang Islam yang buat kawalan. Tiba-tiba ada pula cadangan untuk tidak mahu sijil halal. Jadi saya rasa terlampau menyentuh sensitiviti kepada umat Islam,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan As-Sabiqun 4.0 Sempena Muktamar Pas Ke-70, di Kuantan, Pahang, semalam.

Hashim dalam masa yang sama menuntut agar Pas bergerak ke depan dalam membuat bantahan terhadap cadangan dibangkitkan bekas menteri itu.

“Pas sudah nampak ke mana DAP mahu pergi. Sebab itu kita putuskan hubungan, dan tidak masuk dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bukan kita tidak mahu berkawan, tetapi kita sudah tahu perangai mereka. Dan sekarang makin hari makin tunjuklah. Itu baru menang 40 kerusi, kalau dia menang 120 kerusi rasalah apa yang akan berlaku,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN