SERDANG: PakChips, jenama makanan kering daripada buah-buahan memberi pengalaman baharu kepada pengguna untuk menikmatinya dalam bentuk snek.
Kerepek buah-buahan dan sayuran goreng itu dihasilkan daripada nangka, pisang, labu, nanas MD2, peria, kentang, bawang putih, bawang merah dan lobak.
Pembantu jualan Marhas Trading, Nik Fathiah Nasuha Nik Alias berkata, kesemua kerepek tersebut dihasilkan melalui teknik khas bagi proses penyerapan air daripada buah-buahan dan sayuran tanpa menghilangkan kandungan nutrisinya.
“Pengunjung yang hadir di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 perlu mencuba sendiri keunikan kerepek ini.
“Ia bukan sahaja dihasilkan daripada buah-buahan dan sayuran segar tetapi turut dibuat tanpa bahan pengawet,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Laman Tiba 1, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
MAHA 2024 yang merupakan pameran pertanian utama dan terbesar Asia Tenggara kali ini membawa tema ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’ dan penganjurannya pada tahun ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Pameran itu menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang 12 hari acara itu diadakan.
Mengulas lanjut, Nik Fathiah berkata, kerepek PakChips yang diproses dan diedarkan oleh Marhas Trading yang beroperasi di Lenggeng, Negeri Sembilan, dijual pada kadar harga yang berpatutan.
“Sempena MAHA 2024, pengunjung boleh dapatkan empat pek PakChips dengan harga RM28,” ujarnya. – UTUSAN










