Nurul umum bertanding pemilihan AMPT Bersatu - Utusan Malaysia

Nurul umum bertanding pemilihan AMPT Bersatu

Calon PM
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua Penerangan Srikandi Parti Bersatu, Nurul Syazwani Noh menawarkan diri bertanding sebagai calon Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) parti itu pada pemilihannya nanti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu berkata, segala pengalamannya dalam parti dan guaman menjadi tawaran kepada perwakilan untuk dibawa bersama perjuangan parti jika terpilih menyertai barisan kepimpinan Bersatu.

Menurutnya, keputusan untuk bertanding dibuat berdasarkan Fasal 14.14 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang memberi kelonggaran kepadanya walaupun belum mencapai tempoh tiga tahun dalam perkhidmatan atau kedudukan tertentu dalam parti.

“Dalam peranan saya sekarang, saya memimpin pelbagai program dan inisiatif penting yang memberi impak positif kepada komuniti dan parti. Keupayaan untuk bekerja di bawah tekanan dan mencapai hasil membuktikan bahawa saya mampu menggalas tanggungjawab yang lebih besar dalam AMPT.

“Kepimpinan bukan hanya soal membuat keputusan, tetapi mendengar, merancang, dan melaksanakan dengan keberanian dan integriti. Saya juga berjaya merampas kerusi parti Keadilan Rakyat di Permatang dan menghadiahkannya kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, menerusi kerjasama semua pihak, Tanjong Karang yang dahulu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), berjaya ditembusi dengan majoriti lebih 8,000 undi pada pilihan raya negeri (PRN) lepas.

Dalam pada itu, Nurul Syazwani memberitahu, beliau menggariskan enam tawaran sebagai komitmennya untuk berjuang bersama parti iaitu pengalaman di peringkat akar umbi, keupayaan kepemimpinan, komitmen terhadap pembaharuan parti, hubungan erat dengan generasi muda, keazaman memperjuangkan isu penting serta tawaran khidmat nasihat dan guaman.

“Sepanjang perkhidmatan saya di pelbagai peringkat dalam parti, saya telah mendekati dan memahami keperluan serta aspirasi akar umbi. Saya terlibat secara langsung dalam isu-isu rakyat, berusaha mendengar dan membantu menyelesaikan permasalahan mereka.

“Saya percaya bahawa parti ini memerlukan penglibatan aktif daripada golongan muda untuk memastikan kelangsungan perjuangan. Sebagai pemimpin muda profesional yang dekat dengan generasi baru, saya mampu menjadi jambatan yang menghubungkan generasi muda dengan idealisme perjuangan parti.

“Dengan kehadiran saya dalam barisan AMPT, saya bersedia membantu parti dalam urusan khususnya berkaitan undang-undang . Saya juga berusaha untuk menarik minat golongan profesional muda untuk menyertai Bersatu dan bersama-sama bergerak dalam agenda menjadikan parti lebih baik,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau berjanji untuk terus berkhidmat dengan sepenuh hati, membawa suara akar umbi ke peringkat tertinggi, dan memperjuangkan prinsip-prinsip keadilan, integriti, serta kemajuan untuk parti dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN