PETALING JAYA: Ahli jemaah dikerah bekerja siang dan malam, mencari dana kutipan untuk menambah kantung syarikat tetapi orang atas hidup dengan rumah serta kereta mewah manakala ahli dizalimi dengan sistem penghambaan ini.
Itu pendedahan seorang mutawwif, Raja Suhaimi yang mendakwa pernah menjadi sebahagian daripada ahli jemaah sebuah organisasi yang tidak dinamakannya namun mengamalkan sistem kehidupan sendiri bertentangan dengan sistem sedia ada.
Bagaimanapun ia dipercayai berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang kini dalam siasatan pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa lagi agensi lain.
Dedahnya, organisasi itu menggunakan sistem ma’ash (keperluan) untuk menggantikan pembayaran gaji kepada ahli jemaah yang bekerja di syarikat milik kumpulan tersebut.
“Kerja siang malam, kena buat macam-macam pekerjaan, kena over-time (kerja lebih masa) atau dihantar ke overseas (luar negara), tapi tak dapat gaji dalam bentuk duit. Mereka diberi makan, minum, tempat tidur, diuruskan perkahwinan sesama ahli.
“Banyak yang dizalimi daripada sistem ini. Lebih kepada sistem penghambaan. Orang atasan hidup mewah dengan rumah dan kereta yang super mewah. Orang bawahan, hendak jumpa suami isteri pun kena tunggu giliran dan diaturkan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Menurut individu itu lagi, setiap projek perniagaan diusahakan organisasi itu adalah tugasan kepada ahli mengikut zon dan negeri yang dikenali sebagai ekonomi strategi.
Katanya, ia adalah untuk menunjukkan kehebatan jemaah di mata masyarakat dan musuh perjuangan namun hanya sebahagian kecil sahaja perniagaan dikomersialkan bagi menjana kewangan organisasi.
“Setiap bulan akan diadakan majlis khas untuk mengutip duit daripada ahli mengikut zon dan negeri. Ahli yang bekerja luar akan sumbangkan lebih. Ahli yang bekerja sepenuh masa tanpa gaji pun dipaksa dan ditekan mencari duit untuk penuhkan tabung jemaah atau syarikat.
“Kadang-kadang mereka terpaksa minta bantuan ahli keluarga yang berada di luar jemaah untuk memberikan wang bagi menjayakan tugasan masing-masing.
“Mewujudkan banyak rumah amal dan badan amal kebajikan juga salah satu cara mereka mendapatkan pendapatan yang banyak daripada masyarakat awam,” katanya.
Mengulas mengenai kepemimpinan organisasi itu, Raja Suhaimi mendakwa pemimpinnya kononnya dilantik Rasulullah, Imam Mahadi dan guru mursyid dari alam ghaib dengan amalan itu dikatakan sebagai model sistem pentadbiran organisasi terbabit.
Katanya, kepemimpinan disusun mirip organisasi syarikat biasa, dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa, selain pemilihan pemimpin dibuat melalui tahap ketakwaan paling tinggi di zamannya.
Dia mendakwa, pemimpin terbabit dikatakan layak menjadi wasilah untuk doa dan tawassul (mendekatkan diri dengan bantuan pengantara) iaitu perihal mengenai Allah dengan mengamalkan ibadat khusus mahupun umum, dalam kalangan ahli untuk menyebut nama individu terbabit.
“Mereka membuat sistem dalam sistem, iaitu mewujudkan sistem kehidupan sendiri, berlawanan dengan arus perdana diamalkan di negara ini. Segala arahan pemimpin, wajib ditaati (sami’na wa ato’na).
“Mereka sering mendakwa dapat berhubung dengan Rasulullah dalam bentuk yaqazah (dalam keadaan sedar). Ada arahan tertentu, kononnya dari Rasulullah dan Imam Mahadi, termasuk rombakan Kabinet bayangan daulah.
“Terdapat juga ramalan, dikatakan dari Rasulullah dan Imam Mahadi, yang kebanyakannya meleset dan tidak terjadi,” katanya.
Sementara itu, Raja Suhaimi berkata, amalan nikah syar’ie didakwa diamalkan jemaah, dikatakan lebih sah dan diberkati kerana wali yang menikahkan adalah mukmin sejati, bukannya orang luar yang fasik.
Dia mendakwa, ada segelintir jemaah mendaftarkan perkahwinan dengan jabatan agama, selepas beberapa bulan disahkan mengandung, menyebabkan anak mereka berbin atau berbintikan Abdullah.
“Terutama (pasangan) berpoligami. Berkahwin serta bercerai semuanya atas arahan pemimpin dan jemaah, bahkan pernah satu jemaah diarahkan bercerai beramai-ramai dalam satu majlis, kononnya proses didikan sang mujaddid.
“Isteri atau suami serta anak yang keluar (meninggalkan jemaah) dan mengkritik kesalahan serta kemungkaran jemaah, akan dipisahkan daripada pasangan dan keluarga mereka. Ada yang dibawa lari ke luar negara,” katanya.
Terakhir, dia berkata, sistem pendidikan diamalkan dikatakan dibentuk mengikut kaedah jemaah dengan pembelajaran dalam kelas didakwa dilakukan dalam tempoh singkat, selain ada ketika dikatakan guru pun tidak hadir untuk mengajar.
Katanya, silibus pendidikan dikatakan ditetapkan secara sendiri dengan kebanyakan sesi pembelajaran dalam kelas hanya mengajar mengenai pemimpin, selain premis itu didakwa sebagai tempat menyemai sifat taksub dalam kalangan pelajar.
“Pelajaran fardu ain hanya yang asas, kadang-kadang ulang benda sama. Kata-kata dan tulisan pemimpin jadi keutamaan dalam sesi pembelajaran. Selebihnya, mereka akan disusun untuk ‘khibrah’ (pengalaman atau kemahiran), diserapkan ke projek syarikat.
“Sebab itu ada yang berusia 13 tahun, sudah bekerja di kilang atau premis. Ada yang kena khibrah keluar dari premis, seperti mengedar makanan, majalah dan sebagainya.
“Bahkan ada yang dihantar berkhibrah ke Sabah, Sarawak dari umur seawal 14 tahun. Kanak-kanak mereka diletakkan di asrama atau di rumah amal dan pertubuhan kebajikan kendalian mereka,” katanya. – UTUSAN











