Magis dua dekad revival 'Keranamu Kekasih', Illa Sabry

Magis dua dekad revival ‘Keranamu Kekasih’, Illa Sabry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ILLA Sabry berdiri sebagai penyanyi rakaman di bawah syarikat Nova Muzik pada 2001. Sepantas namanya meledak dalam pasaran muzik negara menerusi hits Keranamu Kekasih, sepantas itulah dia berpaling daripada industri hiburan ketika bakatnya mulai menjadi perhatian.

Sayangnya, Illa memilih jalan berbeza ketika dia sudah memiliki album debutnya, Jatuh Cinta (2001). Melepaskan segala populariti dan kemasyhuran untuk menjadi insan biasa. Maka, tiadalah yang mengenali karya-karya kecil Illa di dalam album tunggalnya itu kecuali Keranamu Kekasih.  

Keranamu Kekasih hadir sebagai naskhah pop dan balada era 2000-an ciptaan Ajai, Azam Dungun dan Johan Aziz yang cukup gilang-gemilang dan evergreen, malah, menggamit nostalgia filem aksi kepolisan, Gerak Khas The Movie arahan Datuk Yusof Haslam ketika itu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun konsepnya tidak jauh beza dengan lagu-lagu percintaan yang lainnya, namun, single ini antara karya saya letakkan dalam standard tertinggi untuk lagu-lagu pop balada Melayu yang pernah dihasilkan dalam sejarah muzik Malaysia, di zaman itu. 

Kekuatannya sudah pasti terletak pada melodi yang benar-benar mengikat untuk sekali pendengaran. Graf melodinya bergerak secara smooth sebelum mencapai dua rangkap korus “Tidak ku menjangkakan ini kan terjadi” dan “Ternyata kejujuran salah ditafsirkan”.

Kebanyakan lagu pop dan balada Melayu dihasilkan sekarang seolah-olah ‘tidak sabar’ untuk ke bahagian korus, padahal nyanyiannya baharu berada di peringkat ‘pemanasan’. 

Mungkin, pencipta lagu hari ini boleh berbangga dengan hasil produksi mereka. Cara bagaimana lagu itu disusun menggunakan instrumen muzik canggih dan bunyinya lebih advance. Tetapi, tidak tentu mereka memiliki ilham melodi yang sentimental dan bertahan lama. 

Meskipun Keranamu Kekasih sudah melepasi usia dua dekad, namun, single itu terus relevan di sebalik penggunaan instrumen dan kualiti rakaman yang kedengaran 20 tahun ke belakang. 

Saya juga mendambakan penulis lirik yang bijak bermain bahasa dan perbendaharaan kata. Kebimbangan industri kita hari ini ialah kita kekurangan penulis yang mahir memanipulasi kosa kata untuk mencantikkan struktur bahasa di dalam lagu. 

Seolah-olah mereka tidak membaca. Menulis tanpa jiwa dan keikhlasan.

Lirik di verse pertamanya cukup cantik dan sempurna: “Bila…kuimbas lagi, Terusik peristiwa dulu, Yang mengguris hati, Terkulai-kulai diri bila cinta didustai”. 

Kita tidak perlu menggunakan laras bahasa istana atau Melayu lama untuk berbahasa, cukup dengan kreativiti yang boleh memanah pada telinga, hati dan minda pendengar. 

REVIVAL 

Sebenarnya, Illa bukanlah penyanyi asal Keranamu Kekasih. Ia sudah dirakam oleh dua penyanyi, Noryn Aziz berjudul Andai yang dimuatkan dalam album, Fantasi O Realiti (1997) dan Ina Freshies (Buatmu Kekasih) dalam album Warna-Warna Cinta (1997). 

Ketiga-tiga lagu ini mengekalkan melodi asal, namun hadir dalam rendisi berbeza. Cuma, Andai dan Buatmu Kekasih kedengaran agak janggal dari segi nyanyian dan liriknya, mungkin kerana kurang pendedahan atau langsung tidak diketengahkan sebagai single.

Illa amat bertuah, kerana mengisi ruang kosong dan menghapus bayang-bayang Noryn dan Ina menerusi lagu yang diolah semula itu. Hasilnya? Jadilah Keranamu Kekasih yang segar hingga kini. 

Terus terang, seandainya ‘iman’ Illa sebagai penyanyi komersial teguh melewati usia 23 tahun selepas single itu dirakam, saya percaya, kita akan mengenali lebih banyak lagi naskhah terbaik Illa yang terpenjara di dalam album antaranya Jatuh Cinta, Saat Bahagia (menampilkan Zamani), Luka Masih Ada dan Bisikan Hatiku. 

Tetapi, siapa kita mahu menentukan jalan hidup Illa? Sekurang-kurangnya, dia sudah mengubati kerinduan pendengarnya melalui kejutan istimewa semasa Konsert By Ajai & Mega Friends, baru-baru ini. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini