Jumlah peruntukan tidak dinyata, sebab MoU belum dipersetujui - Fadillah

Jumlah peruntukan tidak dinyata, sebab MoU belum dipersetujui – Fadillah

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah peruntukan kepada pembangkang tidak dinyatakan dalam memorandum persefahaman (MoU) berikutan terma perjanjian itu belum dipersetujui.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu sidang media hari ini selepas Konvensyen Bantuan Guaman Pelajar Undang-Undang Malaysia di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini.

“Memanglah terma itu belum dipersetujui, (buat) apa kita nak bincang tentang amaun,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang tidak disebut dalam MoU terbabit.

Perkara itu didedahkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, semalam.

Menurut Takiyuddin, blok pembangkang sedang meneliti draf daripada kerajaan tersebut dan keputusan sama ada mereka akan bersetuju atau tidak dengan draf itu dijangka diputuskan sebelum sidang Parlimen akan datang.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, pembangkang diharap tidak membincangkan isu MoU itu secara terbuka.

Justeru katanya, mereka perlu memberi respon draf MoU itu untuk dibincang sehingga ia dapat dimuktamadkan sebelum didedahkan kepada media.

“Kalau nak berunding secara terbuka, kita boleh buat perbahasan, (tetapi nanti) jadi perbahasan pula.

“Jadi benda dicadangkan, tidak setuju, bagi tahu apa mereka nak, apa terma-terma, itu nama perundingan,” katanya.

Berhubung sokongan kepada kerajaan, beliau berkata, perkara itu supaya cakap-cakap untuk menjatuhkan kerajaan tidak lagi timbul.

“Sebab lebih utama untuk negara kita sekarang ialah kestabilan, jadi jangan lah kita bercakap tentang nak menjatuhkan kerajaan.

“Kerajaan sekarang ini sudah dapat sokongan, sudah ada dua per tiga dan dibuktikan di Parlimen.

“Sekarang ini kita kena hantar mesej pada dunia bahawa kerajaan Malaysia adalah stabil, apabila stabil, (maka) pelabur datang (dan) baik untuk ekonomi serta rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN