Gerakan gesa PBT periksa segera kawasan berisiko tinggi mendapan tanah Gerakan gesa PBT periksa segera kawasan berisiko tinggi mendapan tanah

Gerakan gesa PBT periksa segera kawasan berisiko tinggi mendapan tanah

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan berkaitan insiden tanah jerlus di Masjid India untuk mempercepat pemeriksaan kawasan berisiko tinggi mendapan tanah sekitar Kuala Lumpur.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu bagi mengenal pasti jenis geologi dan memastikan keselamatan bandar daripada kejadian seumpamanya berulang.

Kata beliau, pembangunan pesat selama lebih dari 100 tahun yang lalu telah menyebabkan perubahan dalam bentuk muka bumi dan landskap Kuala Lumpur. 

Katanya, walaupun tidak dapat mencegah pembentukan mendapan tanah sepenuhnya, setidak-tidaknya kejadian itu  boleh diurus secara sistematik.

“Pada masa akan datang, pihak berkuasa mesti melakukan kajian menyeluruh sebelum meluluskan sebarang rancangan pembangunan. Sebelum berbuat demikian, kawasan berisiko tinggi atau berbahaya mesti dikenal pasti dengan tepat untuk mencegah dan mengurangkan risiko insiden,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 23 Ogos lalu, mangsa tanah jerlus, Vijaya yang berasal dari Andhra Pradesh, India, terjatuh pada kedalaman 10 meter selepas tanah jerlus berlaku ketika dia sedang berjalan kaki dari arah Flat Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin.

Bagaimanapun, selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditamatkan sepenuhnya semalam, selepas segala usaha yang dilaksanakan pasukan SAR menemui jalan buntu dalam menjejaki mangsa.

Mengulas lanjut, Dominic Lau berkata, kerajaan tempatan tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada keadaan jalan dan permukaan di kawasan pelancongan sahaja.

“Bagi kawasan yang sering mengalami mendapan tanah, kerajaan perlu mengkaji sama ada pemantauan atau pengesanan boleh ditingkatkan di kawasan itu untuk memastikan semua lubang di kawasan perumahan atau jalan raya di seluruh negara dapat diperbaiki dengan segera sekali gus dapat mengurangkan semua risiko,” katanya.

Selain itu, katanya, Kuala Lumpur adalah kawasan yang terkenal dengan bencana alam seperti mendapan tanah, banjir kilat, tanah runtuh, dan aliran lumpur. 

Jelasnya, PBT perlu meningkatkan kemudahan pencegahan untuk mengurangkan risiko dan kerosakan akibat banjir serta memperkukuhkan kestabilan tanah.

“Walaupun mendapan tanah tidak dapat dicegah sepenuhnya, ia boleh diurus secara sistematik dengan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dengan tepat. Dari struktur binaan bandar hingga susunan politik, semuanya perlu dikaji semula secara menyeluruh sekali gus memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu kota negara kita,” katanya.

Justeru, Dominic Lau mencadangkan agar kerajaan mengkaji penggunaan sonar atau seismometer untuk pemetaan bagi melukis keadaan tanah di kawasan yang dianggap berisiko tinggi.

“Terutamanya bagi penduduk yang tinggal berhampiran kawasan yang mengalami mendapan tanah  ingin tahu sama ada tanah yang mereka duduki selamat atau tidak. Ini kerana kegelisahan mereka tidak dijawab dengan jelas dan mereka akan meragui keselamatan kawasan kediaman mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN