KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah dan pegawai kanan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dijangka dihadapkan ke mahkamah minggu depan berhubung penyelewengan dana hampir RM900,000.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua individu itu dijangka dihadapkan ke mahkamah sama ada Rabu atau Khamis hadapan.
“Siasatan mendapati mereka dipercayai menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah kira-kira RM900,000 untuk kepentingan peribadi,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Media SPRM yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, hari ini.
Kedua-dua suspek turut dipercayai mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen mengandungi butiran material palsu bernilai kira-kira RM60,000.
“Difahamkan, tuntutan tersebut didakwa digunakan bagi menunaikan ibadah umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu,” katanya.
Pada 11 Februari lalu, Azam mengesahkan dua pegawai kanan jabatan kerajaan termasuk seorang Ketua Pengarah disyaki bersubahat menyeleweng dana bagi kepentingan peribadi.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. – UTUSAN










