Ekonomi gig bukan jaminan kerjaya kekal

Ekonomi gig bukan jaminan kerjaya kekal

INDUSTRI ekonomi gig hanya sesuai dilakukan oleh mereka yang ingin mencari pendapatan tambahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi gig bukan satu platform yang menjaminkan ‘kerjaya kekal’ kepada mereka yang terlibat dalam industri e-hailing dan p-hailing.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemahaman salah terhadap ekonomi gig menyebabkan mereka berdepan dengan masalah kewangan serta beban hutang.

“Industri itu menawarkan sumber pendapatan tidak tetap namun dijadikan sebagai sumber utama untuk jangka panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.

Menurut Ahmed Razman, industri ekonomi gig merupakan pekerjaan fleksibel dan sesuai dilakukan oleh mereka yang sedang menunggu pekerjaan lain atau mahu membuat kerja sambilan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pekerja-pekerja ekonomi gig supaya memasuki program-program yang ditawarkan kerajaan untuk membina kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada.

“Mereka kena sertai program ditawarkan yang mana memberi mereka ruang untuk mencari pekerjaan lebih menjamin masa depan mereka,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, pekerja dalam ekonomi gig terutama p-hailing dan e-hai­ling kini terbeban dengan hutang akibat penawaran daripada pihak syarikat yang tidak terkawal.

Menerusi data tidak rasmi setakat 2023, jumlah keseluruhan pekerja ekonomi gig 440,000 orang dengan e-hailing (170,000 pemandu) dan ­p-hailing (270,000 penghantar).

Sedangkan hanya 40 peratus daripada jumlah tersebut atau 176,000 pekerja ekonomi gig sahaja diperlukan ketika ini, selepas mengambil kira jumlah permintaan untuk pesanan penghantaran penumpang, barangan dan makanan.

Sependapat dengan itu, Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, pemahaman terhadap pekerjaan di dalam ekonomi gig perlu diperbetulkan.

Jelasnya, pekerja dalam ekonomi gig perlu mencari peluang pekerjaan lain daripada sektor formal untuk mendapatkan sumber pendapatan yang lebih stabil selain mempunyai insurans keselamatan sosial.

“Apa yang pekerja ekonomi gig terlepas pandang adalah sejauh mana kelangsungan industri itu akan menjamin sumber pendapatan kerana mereka tidak terikat dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), mereka hanya bergantung kepada insurans kenderaan semata-mata.

“Apabila ekonomi gig yang sepatutnya menjadi sumber pendapatan tambahan dijadikan sebagai sumber pendapatan utama, jika berlaku sebarang kejutan seperti kemalangan akan mengakibatkan mereka kehilangan sumber pendapatan yang amat besar,” katanya.

Tambahnya, ekonomi gig sememangnya mampu memberi pulangan lumayan tetapi hanya untuk jangka pendek dan bukan jangka panjang.

“Mereka perlu menilai risiko-risiko yang tidak terhitung apabila mereka hanya fokus bekerja dalam ekonomi gig,” jelasnya.

Sementara itu, Pekerja p-hailing, Muhammad Iqmal Firdaus Haizeman, 28, berkata, industri ekonomi gig tidak lagi seperti dahulu di mana menyaksikan mereka meraih pendapatan yang berbaloi dan setimpal.

Katanya, jumlah pekerja ekonomi gig meningkat dengan mendadak sejak Covid-19 kerana ketika itu industri tersebut mudah dimasuki dan bebas untuk bekerja walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kalau dahulu selepas sahaja selesaikan satu pesanan, akan terus masuk pesanan lain, kadang-kadang tidak memerlukan kami untuk menunggu lama tetapi sekarang ada yang menunggu hingga ke 30 minit untuk mendapatkan satu pesanan.

“Sasaran saya setiap hari sepatutnya RM150 untuk dapatkan gaji bulanan yang mencukupi tetapi sekarang susah hendak dapat sebanyak itu. Kalau dapat pun terpaksa kerja lebih masa iaitu sehingga lewat malam,” katanya.

Seorang lagi pekerja ekonomi gig, Aiman Zuhairi Azlan, 26, turut berpendapat bahawa industri tersebut sudah menjadi indah khabar daripada rupa.

“Dahulu ramai daftar hendak jadi pekerja p-hailing dan e-hailing sebab bila tengok media sosial nampak orang tunjuk boleh raih hingga RM4,000, jadi siapa saja yang tak nak? Tapi kena tahu, itu sewaktu jumlah pekerja tidak ramai, jumlah pesanan pun banyak.

“Tetapi sekarang orang ramai sudah boleh keluar dan lebih memilih untuk membeli makanan atau barangan sendiri. Ini yang saya rasa punca pesanan semakin berkurangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN