PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan berhubung kenyataan kontroversinya mengenai sijil halal.
Menurut sebuah portal berita, Teresa Kok mengesahkan beliau berada di agensi penguatkuasaan itu selama dua jam, selepas dipanggil SKMM.
Naib Pengerusi DAP itu memaklumkan beliau bukan memberi keterangan sebaliknya dipanggil oleh pegawai SKMM untuk mendapatkan data daripada telefon bimbit miliknya..
“Tiada apa (keterangan), saya sudah memberikan keterangan kepada polis semalam. Saya menunggu selama dua jam untuk mereka (pegawai MCMC) mengambil data daripada telefon saya,” kata ahli politik itu.
Semalam, polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) mengambil keterangan Teresa untuk disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN