KANGAR: Kenyataan sinis yang sering kali dikaitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menumpang kekuatan Pas di dalam Perikatan Nasional (PN) tidak benar sebaliknya kedua-dua parti itu saling memerlukan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, secara zahirnya kerjasama tersebut berjalan dengan cukup baik khususnya dalam mendepani pilihan raya.
Katanya, Pas juga mendapat keuntungan apabila bersama Bersatu dengan kawasan yang sukar parti itu menang dalam pilihan raya dahulu berjaya ditembusi ekoran tambahan sokongan daripada Bersatu.
“Siapa yang lebih dapat keuntungan, Pas atau Bersatu? soalan ini kalau kita ambil kira akan bertembung sesama sendiri. Jadi saya rasa, lebih baik kita tak payah fikir hal itu, kita fikir kerjasama ini diteruskan untuk kepentingan masa depan.
“Maka, diharapkan di masa akan datang ini, untuk perkara berkaitan pembahagian kerusi bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) ini dapat dilakukan berdasarkan kemampuan yang ada kepada tiap-tiap parti itu.
“Jangan tolak terus, jangan terima semua terus. Ruang untuk perbincangan itu dibuka seluasnya untuk elak perpecahan dalam parti,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ditanya apakah Pas masih mengharapkan Muafakat Nasional (MN) kembali dihidupkan, Hashim berkata, parti itu tidak pernah menutup pintu kerjasama dengan UMNO.
Bagaimanapun katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid yang menolak kerjasama tersebut selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.
“Kata Zahid, ‘selagi haji Hadi jadi presiden’, kita tak akan kerjasama. Itu dia kata, dan dia pun hidup beberapa hari saja lagi. Generasi akan datang yang kita bina, kita kena berpadu.
“Bukan kehendak ‘Hadi’, atau ‘Zahid’, tapi Allah SWT yang suruh. Tuhan yang suruh. Kita pegang yang itu, jangan sesiapa tutup.
“Berdosa besar kalau kita tutup, sebab itu diperintah oleh Allah SWT. Ini yang kita bawa secara umum. Walaupun sekarang ada pelbagai halangan, tapi matlamat kita adalah perpaduan,” katanya. – UTUSAN










